TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT Meningkatkan Keselamatan dan…

By Friday October 25th, 2013 No Comments

TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT

Meningkatkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam

144. Sejelasnya, Kerajaan amat menghargai jasa dan bakti anggota keselamatan dan para perajurit. Kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam. Kerajaan komited dalam membanteras jenayah dan ancaman anasir luar yang mengganggu gugat kesejahteraan negara.

145. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 8.8 bilion ringgit kepada Polis Diraja Malaysia dan 13.2 bilion ringgit kepada Angkatan Tentera Malaysia dalam usaha mengurangkan kadar jenayah serta meningkatkan kesiapsiagaan anggota tentera.

146. Bagi terus memperkasakan perkhidmatan PDRM, Kerajaan akan membina dan menaiktaraf Ibu Pejabat Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah dan kuarters kakitangan dengan peruntukan sebanyak 128 juta ringgit. Ini termasuk pembinaan IPD baru di Pasir Mas, Kota Setar, Johor Bahru Selatan, Sipitang dan Nusajaya serta membina balai polis baru di Pengerang, Tongod dan Country Homes Rawang.

147. Dalam membanteras jenayah, Kerajaan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi melengkapkan PDRM dengan peralatan dan kelengkapan terkini termasuk senjata api, peluru, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik. Kerajaan juga akan menambah 496 bilangan kamera litar tertutup atau CCTV di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit.

148. Selain itu, sebagai tambahan kepada pembelian 1,000 buah motosikal untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM pada tahun ini, Kerajaan bersetuju menambah 800 buah motosikal lagi dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit pada tahun ini. Bagi tahun 2014, Kerajaan akan menambah lagi 200 buah motosikal yang menjadikan keseluruhannya 2,000 buah motosikal bagi tempoh dua tahun.

149. Pencerobohan bersenjata di Lahad Datu merupakan tragedi hitam buat negara. Pengorbanan serta jasa bakti para perajurit dan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan tanahair sangat disanjung tinggi. Kata orang nan dititik nan dieja, nan ditilik nan ditimang, sedikit pun kita tidak lupa, sepanjang hayat tetap dikenang. Apa yang penting, kita tidak sekali-kali merelakan walau seinci pun tanahair ini dirampas oleh sesiapa. Sabah tetap bersama Malaysia selama-lamanya.

150. Bagi memastikan keselamatan perairan adalah terjamin daripada pencerobohan anasir luar khususnya di Sabah dan Sarawak, Kerajaan telah menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM pada awal tahun ini. Bagi memantapkan operasi ESSCOM, Kerajaan memperuntukkan 75 juta ringgit untuk tahun 2014.

151. Selain itu, Kerajaan akan terus meningkatkan kawalan keselamatan negara dengan memantapkan operasi dan peralatan pertahanan di perairan dan sempadan negara. Ini termasuklah menambah enam buah offshore patrol vessel, empat buah pesawat kargo dan pembelian peralatan sokongan, kereta perisai, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 2.4 bilion ringgit.

152. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia. Bagi menghargai sumbangan mereka kepada negara, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 48 juta ringgit bagi tujuan kebajikan 20,000 orang veteran ATM meliputi perubatan, ex-gratia dan pendidikan.

153. Selain itu, sejumlah 202 juta ringgit pula akan diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih kuarters warga ATM. Kerajaan juga akan menyediakan perkhidmatan bas sekolah kepada anak-anak anggota tentera bagi menggantikan penggunaan trak askar.

#Bajet2014



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10151676026450952/

Leave a Reply