TERAS KEEMPAT: MEMPERGIAT PEMBANGUNAN BANDAR DAN LUAR BANDAR Mengukuhkan…

By Friday October 25th, 2013 No Comments

TERAS KEEMPAT: MEMPERGIAT PEMBANGUNAN BANDAR DAN LUAR BANDAR

Mengukuhkan Jaringan Pengangkutan Awam

135. Sememangnya, perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dapat memudahkan mobiliti serta menjimatkan masa dan kos perjalanan. Lantasnya, Kerajaan komited untuk menambah baik pengangkutan awam termasuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti. Antara langkah yang diambil adalah:

Pertama: Membina landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan kemudiannya ke Johor Bahru serta menaik taraf rel dan landasan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak 2.9 bilion ringgit;

Kedua: Menyediakan kemudahan park and ride di stesen LRT,
stesen KTM komuter serta stesen ERL dengan peruntukan 62 juta ringgit;

Ketiga: Memperkenalkan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat dengan peruntukan sebanyak 15.3 juta ringgit bagi membolehkan pengagihan teksi kepada penumpang dengan lebih cekap;

Keempat: Membina hentian akhir bandar dan menaik taraf perhentian bas serta kemudahan drop and ride dengan peruntukan 28 juta ringgit; dan

Kelima: Membaik pulih tren Electric Multiple Unit (EMU) dengan peruntukan 28 juta ringgit bagi memastikan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan.

136. Bagi mempastikan kemudahan jaringan antara kawasan bandar dan luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 130 juta ringgit bagi subsidi pengangkutan udara luar bandar, terutama bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak. Berpegang kepada prinsip bahawa benarlah kepentingan rakyat itu perlu sentiasa kita dahulukan. Sebab itu, sekalipun tidak ekonomik dan tidak menguntungkan, demi rakyat di luar bandar, Kerajaan akan tetap meneruskan subsidi perkhidmatan keretapi di laluan Wilayah Timur, yakni di Pahang dan Kelantan. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 600 ribu pengguna dengan peruntukan 52.9 juta ringgit.

#Bajet2014



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10151676019420952/

Leave a Reply