News_archive

Terapkan Semangat Kekitaan Dalam Diri, Kata Najib

By Saturday February 4th, 2012 No Comments

PEKAN, 4 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap rakyat Malaysia menerapkan semangat kekitaan dalam diri masing-masing agar perpaduan penduduk dan keamanan negara terus dikekalkan.

Beliau berkata semangat kekitaan atau “esprit de corps” di kalangan penduduk negara ini sebenarnya telah lama wujud iaitu kesinambungan daripada semangat yang wujud dalam diri pemimpin-pemimpin negara terdahulu.

“Esprit de corps boleh kita terjemahkan menerusi semangat pemimpin-pemimpin kita dahulu yang mencipta negara ini melalui Perlembagaan dan kontrak sosial yang telah dimeterai mereka sewaktu negara mencapai kemerdekaan.

“Kini semangat pemimpin-pemimpin dahulu itu diterjemahkan dalam Gagasan 1Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Ponggal 1Malaysia dan penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Parlimen Pekan di Dataran Pekan di sini, hari ini.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata pemimpin terbabit iaitu antaranya almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mendiang Tun Tan Cheng Lock, mendiang Tun Sambanthan dan almarhum Tun Abdul Razak Hussein pada satu ketika dulu duduk semeja merangka dasar-dasar berdasarkan falsafah perlembagaan negara.

“Salah satu daripada perkara yang dirangka itu adalah nilai yang diterapkan hari ini iaitu mengizinkan setiap kaum di negara ini untuk bebas beragama, bebas berbudaya dan bebas mengamalkan cara hidup dan kepercayaan masing-masing,” katanya.

Kebebasan mengamalkan perkara-perkara itu, kata Perdana Menteri tidak terdapat di tempat lain termasuklah negara lain di Asia Tenggara dan keunikan itu mencerminkan satu jati diri Malaysia yang menjadi paparan kepada negara lain.

“Majlis Pesta Ponggal seperti hari ini merupakan satu nilai tradisi yang boleh kita kekalkan sebagai satu warisan yang menjadikan Malaysia sebagai negara unik lagi istimewa dan ia juga perlu kita kekalkan kerana tradisi ini berdasarkan pada kata sepakat pemimpin kita dulu di bawah esprit de corps,” kata Najib.

Beliau menyifatkan majlis itu cukup bersejarah kerana ia merupakan yang pertama kalinya diadakan di Pekan dan berharap seiring dengan itu, limpahan kemakmuran terus dikecapi oleh setiap penduduk.

Pada majlis itu Najib turut menyampaikan replika cek BR1M kepada wakil-wakil penduduk kawasan Parlimen Pekan, membabitkan penerima keseluruhan lebih 20,000 orang.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin.

Sumber : Bernama

Leave a Reply