News_archive

Terapkan Konsep 1Malaysia Dalam Pergerakan Belia: Najib

By Thursday May 14th, 2009 No Comments

MELAKA, 15 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak mahu konsep 1Belia 1Malaysia diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini.

Perdana Menteri berkata konsep 1Malaysia akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan muda turut mengamalkan konsep 1Belia 1Malaysia itu.

“Langkah yang seribu itu bermula dengan yang satu, Malaysia tidak akan menjadi 1 sekiranya belianya tidak berpadu.

“Dari itu, terletak di jemala para belia satu amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan yang mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional yang telah dibina, jika tidak segala apa yang kita bangunkan akan hancur dan ranap begitu sahaja,” katanya dalam perutusan yang disiarkan pada skrin di majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini Jumaat.

Perhimpunan yang dihadiri 15,000 orang belia itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Perdana Menteri mahu belia sedar bahawa kerukunan yang dicapai selama ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia telah dirintis oleh mereka yang terdahulu dengan segala jerih dan kepayahan.

Katanya sebagai golongan yang dilahirkan pasca Merdeka, umur belia adalah paling subur untuk merealisasikan konsep 1Malaysia.

“Ingatlah bahawa di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung, lantaran itu saudara saudari sekelian harus melihat antara satu sama lain dengan pandangan Malaysia.

“Dalam kata lain sungguh pun kita terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan suku mahupun keturunan, kita harus insaf bahawa di bumi Malaysia inilah kita dilahirkan, dibumi inilah kita mencipta kehidupan dan dibumi inilah kita bersemadi. Maka dibumi inilah juga kita wajib menumpahkan baiah, setia, waad dan janji,” kata Najib.

Beliau berkata belia adalah penentu rupa wajah Malaysia pada masa depan dengan hakikatnya kejayaan belia adalah kejayaan negara.

Menyedari realiti golongan belia sebagai anggota masyarakat yang paling idealistik, Najib mencabar mereka untuk jangan lagi sekadar berpuashati berada di gerigi peristiwa sebaliknya bersama-sama mencipta sejarah.

“Marilah bersama-sama pentadbiran saya sebagai pelaku-pelaku aktif dalam proses membawa pembaharuan dan perubahan ke arah mencipta Malaysia yang kita impikan. Saya amat yakin sebagai orang muda saudara dan saudari tentunya mempunyai banyak idea untuk dikongsi dalam menjana pembangunan negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata sebagai langkah pengupayaan dan pewajaan, beliau menyarankan ruang dialog yang lebih luas antara belia dan kepimpinan tertinggi negara bagi memahami keperluan dan kehendak golongan belia.

“Malah, pendapat yang mengatakan bahawa hanya kerajaan mengetahui apa yang baik untuk golongan belia sudah ketinggalan, lantas untuk memahami aspirasi dan denyut nadi belia, kerajaan kini lebih bersedia menjadi pendengar yang baik dan mempunyai empati terhadap sudut pandangan, keluh kesah, rintihan, pendapat serta saranan saudara dan saudari sekalian,” katanya.

Najib juga meminta pertubuhan belia berusaha menarik golongan muda yang belum menjadi anggota kepada pertubuhan masing-masing dengan menggunakan pendekatan yang kreatif dan inovatif termasuk media alternatif.

Beliau juga menyeru semua agensi kerajaan yang berurusan dengan golongan belia mengkaji semula pendekatan mereka agar tidak bersifat menghakim dan menghukum sebaliknya cuba memahami cita rasa golongan muda.

“Turunlah padang dan dengarlah suara-suara belia akar umbi dan tidak sekadar menunggu mereka untuk datang berjumpa dengan kita,” katanya.

Dalam melaksanakan program belia, beliau mahukan agensi terbabit berunding dengan belia agar aktiviti yang akan dijalankan menepati kehendak golongan itu.

Perdana Menteri turut meminta golongan belia menyediakan diri untuk model baru ekonomi yang berasaskan kreativiti dan inovasi termasuk konsep pembelajaran seumur hidup.

Sumber : Bernama

Leave a Reply