News_archive

Tanjung Agas dipertimbang jadi FTZ

By Friday June 19th, 2009 No Comments

PEKAN 20 Jun – Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim di Tanjung Agas di sini sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, status itu akan diberikan selepas taman perindustrian seluas 1,639 hektar itu beroperasi sepenuhnya dalam tempoh lima atau tujuh tahun lagi.

“Status FTZ mungkin diberikan setelah mencapai tahap penuh operasi tertakluk pada syarat-syarat tertentu,” katanya ketika berucap pada upacara pecah tanah Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim di Tanjung Agas hari ini.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menyempurnakan upacara pecah tanah itu.

Najib memberitahu, Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk membangunkan taman perindustrian tersebut menerusi pakej rangsangan ekonomi kedua yang diumumkan baru-baru ini.

“Kita juga sedia menimbang peruntukan tambahan jika diperlukan dalam projek ini,” katanya.

Kerajaan, kata Perdana Menteri, akan berusaha menarik lebih ramai pelabur untuk menanam modal di taman industri yang bakal menjadi ‘ikon’ pada sektor perindustrian di negara ini.

“Difahamkan taman industri ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelabur asing dan tempatan untuk menempatkan operasi mereka seperti limbungan kapal, fabrikasi, pangkalan bekalan dan terminal penyimpanan minyak,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian, pembangunan Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim di Tanjung Agas tepat pada masanya ketika negara giat meningkatkan usaha mencari gali dan pengeluaran minyak mentah dan gas asli.

“Berdasarkan skala pembangunan taman industri ini, ia mampu memenuhi permintaan dan keperluan aktiviti cari gali dan pengeluaran minyak mentah bagi negara dan rantau ASEAN,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, sebanyak 30,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan dalam tempoh 10 tahun lagi di kawasan Tanjung Agas.

“Pada fasa pertama projek taman industri ini, sebanyak 5,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan,” katanya.

Beliau juga meminta semua jabatan dan agensi kerajaan menyegerakan proses kelulusan permohonan tertentu supaya pelabur dapat beroperasi secepat mungkin.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply