News_archive

Tanam sikap tolong-menolong

By Saturday May 9th, 2009 No Comments

KUALA LANGAT 9 Mei – Jadikan usaha memupuk perpaduan kaum sebagai agenda peribadi masing-masing. Itu pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata, langkah berkenaan selaras dengan hakikat bahawa usaha memupuk perpaduan bukan hanya tanggungjawab pemimpin dan kerajaan semata-mata.

Menurutnya, usaha itu boleh dimulakan dengan melakukan beberapa perkara mudah seperti menolong mereka yang dalam kesusahan tanpa mengira kaum dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ucap selamat atau bertanya khabar.

“Contohnya jika ada kemalangan kita seharusnya menolong tanpa bertanya apakah bangsa atau agama mangsa tetapi menganggap yang kita tolong itu adalah rakyat Malaysia.

“Kita juga harus menanam sikap rakyat Malaysia harus menolong rakyat Malaysia yang lain dalam usaha menjadikan negara kita kuat dan berdaya tahan bukan saja dalam ekonomi tetapi politik dan sosial,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis perayaan Hari Wesak Penganut Buddha Malaysia 2009 di Kuil Fo Guang Shan (FGS) Dong Zen di Jenjarom di sini hari ini.

Majlis bertemakan Satu Malaysia Untuk Keharmonian Antara Agama itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Sami Kuil FGS Dong Zen, Jue Cheng.

Dalam pada itu, Najib turut meminta rakyat Malaysia melihat persamaan antara kaum, agama serta budaya dan mengelak terlalu menumpukan kepada perbezaan yang boleh membawa banyak keburukan dan masalah kepada negara.

Ini kerana, kata beliau, semua agama yang dianuti ini menyarankan penganutnya cintakan keamanan serta hidup harmoni walaupun berbeza latar belakang.

Ujar beliau, masyarakat majmuk di negara ini juga perlu menjadikan nilai murni itu sebagai titik persamaan untuk memastikan perpaduan terus kukuh kerana kepelbagaian yang tercipta itulah yang menjadikan Malaysia sebagai negara contoh di kalangan negara membangun lain.

“Kita boleh memupuk ciri-ciri sebuah negara yang semakin terbuka dan menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan dan bukan halangan atau kerumitan kepada negara.

“Rakyat juga perlu melihat secara positif bagaimana kita membina negara atas kepelbagaian ini sehingga berjaya pada abad ke-21,” kata beliau.

Tegas Perdana Menteri, persamaan yang dibina atas kepelbagaian untuk pengukuhan bangsa itu perlu diberi lebih tumpuan kerana ia menjadi elemen penting kepada konsep Satu Malaysia yang ditekankan kerajaan sekarang.

Najib turut tersentuh hati apabila mendengar Jue Cheng dalam ucapan alu-aluannya pagi ini mengatakan Malaysia adalah negara ibundanya.

“Ini bermakna mereka juga warga yang taat setia serta mempunyai semangat patriotik yang tinggi,” kata beliau.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply