Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Tambak Johor perlu diganti untuk atasi kesesakan - Najib Razak
News_archive

Tambak Johor perlu diganti untuk atasi kesesakan

By Friday May 22nd, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 22 Mei – Tambak Johor tetap perlu diganti dengan sebuah jambatan baru bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua hala di antara Johor Bahru dan Singapura.

Naib Presiden Persatuan AnakAnak Melayu Johor cawangan Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Syed Hussein Alhabshee berkata, Tambak Johor perlu digantikan biarpun hari ini cadangan untuk membina jambatan ketiga dibangkitkan.

”Saya menyokong cadangan pembinaan satu lagi jambatan bagi merancakkan pembangunan di kawasan timur negeri Johor.

”Namun begitu, Tambak Johor perlu diganti dengan sebuah jambatan yang baru bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin teruk dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Syed Hussein, pembinaan sebuah jambatan bagi menggantikan Tambak Johor juga dapat mengurangkan masalah pencemaran air di Selat Tebrau dan meningkatkan kualiti alam sekitar di bandar raya Johor Bahru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam lawatan dua hari ke Singapura hari ini mengumumkan cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambatan baru bagi menghubungkan bahagian timur Johor ke republik berkenaan.

Najib berkata, jambatan baru itu akan dapat membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara selain membangunkan bahagian timur Johor seperti Pengerang dan Desaru.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas), Datuk Abdul Rahman Manan dalam kenyataan turut bersetuju bahawa pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor perlu diteruskan.

”Pembinaan sebuah jambatan bagi menggantikan Tambak Johor akan menjana ekonomi kedua-dua negara, melicinkan aliran trafik serta memudahkan pemeriksaan imigresen, kastam, pertanian dan kesihatan.

”Ia juga harus dilaksanakan atas dasar setiakawan Malaysia-Singapura tanpa sebarang pengaruh politik,” jelas beliau.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply