News_archive

Taman Perindustrian Logistik Minyak Dan Gas Tanjong Agas Jadi Pusat Setempat

By Tuesday November 30th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd akan membangunkan Taman Perindustrian Logistik dan Minyak dan Gas Tanjong Agas sebagai pusat setempat.

Ia bagi memberi khidmat dan sokongan kepada aktiviti huluan dan hiliran yang besar dan berkembang pantas di rantau ini, serta seiring dengan usaha untuk mengubah Malaysia kepada hab minyak dan gas serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini termasuk aktiviti pengeluaran, eksploitasi dan cari gali minyak dan gas.

Dengan pelaburan sebanyak RM3 bilion antara tahun depan dan 2012, Najib berkata projek itu dijangka menyumbang RM30 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) negara dalam tempoh 10 tahun dan mewujudkan 30,000 pekerjaan menjelang 2020.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan Projek Permulaan (EPP) dan sembilan pembangunan baharu Program Transformasi Ekonomi (ETP), di sini pada Selasa.

Perdana Menteri berkata Tenaga Nasional Bhd akan membangunkan dua loji janakuasa hidro baru, stesen janakuasa hidroelektrik Ulu Jelai di Pahang dan skim hidroelektrik Hulu Terengganu (Terengganu), dan sebuah stesen janakuasa besar di Perak.

“Pelaburan yang besar ini penting bagi menyokong ekonomi kita memandangkan ia terus berkembang. Kapasiti yang meningkat penting untuk menyediakan tenaga kepada perniagaan dan jumlah penduduk yang semakin berkembang dalam negara,” katanya.

Najib berkata Tenaga akan melabur kira-kira RM4 bilion tahun depan bagi ketiga-tiga projek itu.

Beliau berkata sebagai tambahan kepada tiga stesen janakuasa itu, Tenaga juga akan memperuntukkan dana untuk memperkukuh infrastruktur transmisi tenaga, memastikan bekalan boleh diharapkan di seluruh negara temasuk antara lain lokasi seperti Salak South Mahkota Cheras, South Pantai dan Puchong Perdana Olak Lampit di Lembah Klang.

Beliau berkata sektor elektronik dan elektrik merupakan satu lagi industri penting untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Bagi menarik 157,000 pekerjaan baru dalam sektor ini dalam masa 10 tahun akan datang, Malaysia secara aktif membangunkan projek-projek yang boleh mewujudkan ekosistem teknikal yang mengukuhkan kemahiran kejuruteraan nilai yang lebih tinggi.

Najib berkata Cisco Systems telah melabur untuk memindahkan proses pengeluaran dan kemahirannya untuk pelbagai projek ke Malaysia.

Sebagai mengiktiraf pelaburan ini, beliau berkata Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan geran untuk digunakan bagi tujuan latihan dalam masa tiga tahun akan datang.

Dengan dana ini, Cisco akan melengkapi kira-kira 1,000 warga Malaysia dengan kemahiran yang sewajarnya untuk bekerja dengan aplikasi dan teknologi maju syarikat.

Untuk terus menyemai dan mempercepatkan modal insan berkamhiran tinggi dan menambah baik pengkomersialan penyelidikan akademik di Malaysia, Taman Tekknologi Malaysia (TPM) akan menerajui pembangunan Kluster Inovasi, Sains dan Kejuruteraan Maju, dengan kerjasama Universiti Tenaga National dan Universiti Multimedia.

Pelaburan bagi kluster itu dijangka berjumlah RM374 juta dalam masa 10 tahun akan datang dengan unjuran PKN sebanyak RM636 juta dan 20,900 pekerjaan baru diwujudkan pada 2020.

Najib juga mengumumkan tiga projek baru yang akan membantu Malaysia mencapai sasarannya meningkatkan output pelancongan kepada tiga kali ganda menjelang 2020.

Projek-projek itu akan menumpukan kepada usaha menaik taraf perkhidmatan e hospitaliti dan tawaran serta meningkatkan daya saing pelancongan perniagaan bagi menarik lebih pulangan yang lebih tinggi daripada lawatan pelancong.

Dalam usaha menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelancong, Najib berkata Univesiti UCSI melancarkan kluster pendidikan baru yang menumpukan kepada hospitaliti dan pelancongan untuk memberikan aliran kukuh graduan yang berkelayakan tinggi, sedia untuk diambil bekerja dalam industri pelancongan negara yang berkembang.

Beliau berkata Universiti UCSI, melalui Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan, akan melabur dalam hotel lima bintang di Sarawak dan pusat konvensyen antarabangsa dan hotel resort di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

“Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM650 juta, fakulti itu merupakan satu daripada kluster hospitaliti dan pelancongan baharu yang akan menjana RM618 juta dan 2,300 pekerjaan baru pada 2020,” jelas beliau.

Najib berkata YTL Hotels, mengubahsuai Hotel Majestic di kawasan seluas 3.2 ekar di Kuala Lumpur.

Beliau berkata dengan pelaburan sebanyak RM250 juta, kompleks itu akan menampilkan Hotel Majestic yang asal dan dipulihkan sepenuhnya bersebelahan dengan blok yang baharu.

Beliau berkata hotel mewah baru itu akan menawarkan 320 bilik dan suite, restoran perkhidmatan penuh dan 600 pekerjaan tambahan diadakan.

Najib berkata RM50 juta disediakan untuk 2011 dan 2012 bagi meningkatkan daya saing Malaysia dalam segmen pelancongan perniagaan melalui Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB).

Ini termasuk program sokongan dengan bajet sebanyak RM25 juta setahun bagi menyediakan insentif bukan kewangan dan kewangan, bagi membantu membida acara perniagaan antarabangsa, dijangka menawarkan nilai ekonomi tinggi kepada negara.

Sementara itu, Kementerian Pelajaran bersama SEGI College, DiKA College, Taj International College, Institut Teknologi Info-Sains Mahir, MCS College, Institut Perkembangan Awal Kanak-Kanak, Kolej Uniti, Thames Technology, Iras Mewah dan Institute Megatech akan mengendalikan latihan perguruan pra sekolah di 10 negeri.

Najib berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk meningkatkan pendidikan pra sekolah dalam negara, memastikan standard kualiti yang tinggi bagi guru pra sekolah dan menawarkan sokongan untuk kadar kemasukan kanak-kanak ke pra sekolah yang semakin bertambah.

Beliau berkata pemilihan Istitusi Pengajian tinggi Swasta (IPTS) dan pusat latihan itu dibuat baru-baru ini melalui pembidaan persaingan.

Bida berkenaan terbuka kepada semua pusat latihan dan IPTS pada nilai RM11.4 juta.

Sumber : Bernama

Leave a Reply