News_archive

Taman Industri Minyak Berstatus Zon Perdagangan Bebas

By Friday June 19th, 2009 No Comments

PEKAN, 20 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sedia menimbang menjadikan Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim, Tanjong Agas, di Pekan, berstatus Zon Perdagangan Bebas.

Beliau berkata pertimbangan menjadikannya sebagai zon perdagangan bebas tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

“Projek ini bertepatan dan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa dalam usaha negara kita meningkatkan lagi usaha mencari gali dan pengeluaran minyak mentah dan gas asli,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjong Agas, di sini hari ini.

Majlis pecah tanah projek melibatkan kawasan seluas 1,704 hektar dengan kos RM2 bilion itu dirasmikan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, Pengerusi Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata projek itu berpotensi mendapat sambutan menggalakkan daripada pelabur asing dan tempatan untuk menempatkan operasi mereka seperti limbungan kapal, fabrikasi, pangkalan bekalan dan terminal penyimpanan minyak.

“Ia merupakan pencapaian memberangsangkan dan akan memberi perubahan dari segi ekonomi, dengan unjuran Fasa 1 akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan dan selepas 10 tahun dijangka mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan,” kata Najib.

Najib berkata kerajaan menyokong projek berkenaan kerana selain membuka peluang pekerjaan, ia juga akan merancakkan lagi sektor perkhidmatan dan memberi limpahan kepada ekonomi hiliran.

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta sebelum ini untuk menjayakan projek ini dan Insya-Allah, kita akan tambah lagi peruntukan pada masa akan datang,” katanya.

Najib berkata kerajaan akan sentiasa peka terhadap keperluan dan bantuan terhadap projek itu dan mahu semua jabatan dan agensi kerajaan turut membantu usaha syarikat itu serta pelabur dari segi permohonan dan kelulusan lesen-lesen dan insentif tertentu supaya mereka dapat beroperasi dengan segera.

“Projek ini akan memberi kesan terhadap usaha kerajaan untuk melaksanakan konsep modal ekonomi baru, dan satu daripada punca penjanaan pertumbuhan negara adalah daripada sektor perkhidmatan.

“Ketika ini sektor perkhidmatan menjana 54 peratus KDNK negara dan kita berharap ia meningkat kepada 70 peratus,” katanya.

Majlis pelancaran projek itu sebelum ini disempurnakan Sultan Pahang pada 16 Feb lepas di Kuala Lumpur, dan projek itu dijangka siap dalam tempoh lima dan tujuh tahun.

Sumber : Bernama

Leave a Reply