News_archive

Syarikat Pembinaan Perlu Sandar Pada Kekuatan Masing-masing, Kata Najib

By Monday February 13th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata syarikat-syarikat pembinaan perlu mengenal pasti bidang strategik dan menyandarkan kekuatan masing-masing untuk merebut peluang di dalam industri itu di seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata syarikat-syarikat pembinaan Malaysia telah mendapat kepakaran sejak beberapa tahun kebelakangan dan mengekalkan daya saing kos masing-masing yang boleh dipasarkan dan digembleng di mana-mana sahaja.

“Saya percaya kini adalah masanya bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk meneroka melangkaui pesisir negara bagi menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa.”

“Saya berharap rangkaian dan hubungan kerja yang kukuh, yang dijalin di persidangan antarabangsa ini, akan menghasilkan manfaat berguna kepada kedua-dua pihak pada masa depan yang terdekat,” katanya semasa merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2012 di sini Selasa.

Najib berkata syarikat pembinaan tempatan sangat agresif memasarkan perkhidmatan masing-masing ke China dan India, yang merupakan negara besar di Asia.

Sehingga ini, Perdana Menteri berkata syarikat-syarikat Malaysia telah mendapat 87 projek di India bernilai RM5.5 bilion dan 71 projek di China bernilai RM15 bilion.

“Sambil kita membangunkan peluang domestik bagi menjana pertumbuhan di dalam ekonomi kita, kita jangan lupa terhadap peluang yang sama pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Najib turut menggesa pemain industri itu untuk beralih kepada penggunaan automasi dan jentera yang lebih meluas yang dipacu oleh teknologi maklumat dan komunikasi yang mempunyai kesan berkembar meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan pada tenaga buruh.

Katanya usaha untuk mengurangkan pergantungan pada tenaga buruh dan memberi fokus pada input pengeluaran alternatif boleh meningkatkan peluang syarikat-syarikat bagi menembusi pasaran global.

“Industri pembinaan perlu juga berusaha ke arah teknologi hijau,” katanya, sambil menyatakan pemain industri itu perlu juga memberi respons yang mencukupi terhadap permintaan pengguna menuju ke arah teknologi hijau dan yang menyihatkan.

Mengenai tinjauan industri, Najib berkata sektor pembinaan dijangka berkembang pada kadar sihat 7.0 peratus dan menyediakan kesan limpahan kepada industri pembuatan dan sokongan yang lain.

Katanya pertumbuhan itu akan dijana melalui usaha mempercepatkan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), pelbagai projek di bawah Program Transformasi Ekonomi dan pembinaan perumahan termampu dimiliki yang disasarkan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan pembeli rumah pertama kali.

Sumber : Bernama

Leave a Reply