News_archive

Syarikat China Mungkin Diminta Sertai Projek Landasan Rel Berkembar

By Wednesday June 3rd, 2009 No Comments

BEIJING, 4 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata syarikat China kemungkinan diminta untuk mengambil bahagian dalam menyiapkan sistem landasan rel berkembar di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri berkata beliau telah menyentuh mengenai isu syarikat China mengambil bahagian di dalam projek infrastruktur di Malaysia semasa perbincangan dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao semalam.

Sebuah syarikat China akan terlibat dalam pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua manakala sebuah lagi akan mengambil bahagian majoriti dalam satu usahasama berkaitan pembesaran Empangan Mengkuang di Pulau Pinang, katanya pada satu sesi soal jawab di Forum Perniagaan Malaysia-China sehari di sini, Khamis.

Najib juga berkata syarikat China akan dipertimbangkan bagi sektor tenaga di Sarawak yang berkaitan dengan Empangan Bakun dan mereka juga akan dijemput bagi pembesaran sektor teknologi maklumat dan komunikasi Malaysia.

Sebelum itu, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, Naib Perdana Menteri China Hui Liangyu berkata langkah menuju ke hadapan bagi China dan Malaysia semasa kemelesetan ekonomi semasa sekarang ini ialah dengan mengukuhkan kerjasama ekonomi masing-masing.

Banyak lagi bidang kerjasama yang boleh disertai oleh komuniti perniagaan kedua-dua negara bagi mencapai masa depan yang lebih cerah, katanya.

Hui berkata beliau menyedari mengenai Wawasan 2020 Malaysia dan China juga mempunyai tempoh masa yang sama untuk meningkatkan lagi pembangunannya bagi manfaat rakyatnya.

Najib kemudiannya menyaksikan pertukaran dokumen 16 memorandum persefahaman antara syarikat dan pertubuhan Malaysia dan China.

Ia termasuk INS Bioscience Bhd, yang bertukar-tukar dokumen dengan dua pihak, iaitu yang pertama dengan Tonghua Dongbao Pharmaceutical Co Ltd untuk mengeluarkan insulin halal dan yang kedua dengan satu rakan di Dalian untuk mengeluarkan baja bio.

Jia Yu Home Entertainment Sdn Bhd yang bekerjasama dengan MDec, telah menandatangani satu perjanjian dengan stesen TV Nanning dan Chengsa untuk melaksanakan pengeluaran bersama penyiaran program “secara langsung” Tahun Baru China 2010.

CIMB Bank Bhd telah bertukar-tukar dokumen dengan Yingkou Co Ltd untuk menyelesaikan pengambilalihan 19.99 peratus Bank of Yingkou manakala SP Setia Bhd akan menjalin tenaga dengan Hangzhou Ju Shen Construction Engineering Ltd to memajukan sebidang tanah seluas kira-kira 12 hektar di Xiao Shan di Wilayah Zhejiang.

Satu lagi MoU membabitkan pembangunan hartanah berkaitan usahasama antara Dutaland Bhd dengan BODA Group untuk membangunkan sebidang tanah 1.3 ha di Shijiazhuang, sebuah ibu wilayah dalam kawasan Beijing-Tianjin.

Dibena Enterprise Sdn Bhd telah menandatangani dua MoU, salah satunya dengan Becom Software Co Ltd untuk melaksanakan satu usahasama dalam kad pintar pelajar di Malaysia, dan dengan Beijing Risbo Networking Technology Co Ltd untuk bekerjasama dalam rangkaian talian tetap dan wayarles di Malaysia dan China.

Huawei Technologies dari China telah menandatangani dua MoU, salah satu daripadanya dengan Taman Teknologi Malaysia dalam pembangunan modal insan bagi industri komunikasi dan satu lagi dengan Universiti Teknikal MARA bagi tujuan yang sama.

MoU yang lain termasuk Lion Blast Furnace Sdn Bhd dengan EXIM Bank China untuk membiayai satu projek dandang: Danga Bay Sdn Bhd dengan Beijing School of Foreign Languages untuk membangunkan satu institusi pendidikan di Iskandar Malaysia; Sunzen Biotech Bhd dengan Regalplus (Beijing) Investment Consultant Co Ltd untuk membekalkan aditif makanan haiwan yang dibuat dari secara bioteknoloji; Acacia Cellulose International Sdn Bhd dengan China National Machinery & Equipment Import & Export Corporation untuk membina satu kilang pulpa dan kertas; Bell Corporation Sdn Bhd dan Oriental Children Care Green Product Development Co Ltd mengenai pemasaran produk penjagaan peribadi; dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dengan Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China untuk mempromosikan secara bersama latihan perdagangan dan sumber manusia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply