News_archive

SUPP Diingatkan Supaya Berubah Untuk Dapatkan Semula Kepercayaan Rakyat – Najib

By Saturday December 10th, 2011 No Comments

KUCHING, 10 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu berkata Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu memantapkan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti yang dilanda masalah itu melalui perubahan strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata parti komponen BN tertua di Sarawak itu perlu menyusun semula jentera parti dengan memikir dan melihat semula strategi kemenangan dan imejnya pada masa ini.

“Kamu mesti sedar bahawa jika kamu tidak menyesuaikannya dengan kehendak rakyat dan jika kamu tidak mahu berubah, pada masa itu anda akan diubah..dengan kata lain, berubah apa yang perlu diubah untuk menjadikan SUPP sebagai pilihan rakyat sekali lagi,” katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan tiga tahun sekali SUPP kali ke-22 di sini.

Turut hadir Presiden SUPP yang akan mengundurkan diri Tan Sri Dr George Chan dan Menteri Perumahan dan pelancongan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang mewakili Ketua Menteri dan Pengerusi BN Negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Najib berkata beliau yakin bahawa BN Negeri, terutama SUPP, boleh memenangi semula kepercayaan penduduk bandar jika ia berusaha bersungguh-sungguh dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan lain.

Pada pilihan raya negeri April tahun ini, beliau berkata prestasi SUPP adalah teruk dengan memenangi hanya enam daripada 19 kerusi yang ditandingi.

“Kamu boleh bercakap apa saja dan menjanjikan apa jua perubahan yang anda boleh lakukan tetapi akhirnya ujian paling besar adalah sama ada ia memadai untuk meyakinkan rakyat melalui peti undi dan mengundi untuk anda,” kata Najib.

“Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, tak ada tempat untuk naib johan, cuma ada dua pilihan..iaitu sama ada anda membentuk kerajaan atau menjadi pembangkang,” katanya kepada 906 perwakilan dan pemerhati persidangan itu.

Pilihan raya umum lalu adalah satu yang mengejutkan bagi BN, tetapi beliau percaya BN telah berubah.

Beliau berkata rakyat kini lebih yakin kepada parti pemerintah kerana menyedari ia mempunyai hala tuju yang jelas untuk negara atas kesediaan untuk mengemukakan agenda menarik dan lebih segar termasuk Program Transformasi Kerajaan, yang boleh dicapai.

Beroperasi dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen juga bermakna bahawa perubahan sedemikian adalah berdasarkan kepada kehendak rakyat, dan ia adalah sebab kenapa negara boleh mengelakkan keadaan kacau bilau seperti yang berlaku di Afrika Utara dan Timur tengah, katanya.

Najib, yang membayangkan bahawa pilihan raya umum semakin hampir, berharap supaya SUPP akan bersiap sedia apabila masanya tiba.

“SUPP adalah sebuah parti lama dan mesti diberi tenaga semula. Kamu (SUPP) telah banyak berjasa, telah melalui banyak pengalaman tetapi ia masih belum cukup kerana masanya masih panjang lagi,” katanya mengenai parti yang berusia 51 tahun yang memenangi enam daripada tujuh kerusi Parlimen yang ditandingi pada pilihan raya umum 2008.

“Saya menanti-nantikan perkara ini kerana sebaik ia berakhir, kita telah merancang banyak perkara untuk Sarawak kerana saya mahu negeri ini pesat membangun,” katanya sambil menambah kata bahawa beliau akan bekerjasama dengan ketua menteri.

Beliau memberi jaminan bahawa Sarawak di bawah pemerintahan BN akan berkembang maju sebagai sebuah negeri dan rakyatnya akan menjalani kehidupan yang lebih baik.

Sumber : Bernama

Leave a Reply