BlogFeatured Articles

Sukan SEA Ke-29 & Sukan Para ASEAN Ke-9

By Tuesday July 4th, 2017 No Comments

Bermula semalam di Pulau Pinang, seramai 800 orang telah mengambil bahagian dalam acara Larian Obor sempena Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang bakal berlangsung pada bulan Ogos yang akan datang. Larian Obor di Pulau Pinang tersebut adalah peringkat kesembilan sejak ia bermula di Johor pada 13-18 Mei yang lepas dan akan diteruskan di setiap negeri sehinggalah berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 6 hingga 12 Ogos nanti.

Saya amat teruja dengan sambutan rakyat Malaysia dalam persediaan menjadi tuan rumah kepada acara kesukanan yang terbesar di rantau Asia Tenggara ini. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah 16 tahun lepas, dan sebelum itu kita telah dua kali menjadi tuan rumah kepada atlet-atlet terbaik ASEAN, iaitu pada 1977 dan 1989. Pada tahun 2001, Malaysia telah menjadi johan keseluruhan dengan kutipan 271 pingat, termasuk 111 pingat emas.

Sukan SEA pada tahun 1989 adalah yang paling saya ingati kerana ketika itu saya memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan, dan temasya tersebut telah menyaksikan Malaysia mencapai satu keputusan cemerlang dengan menduduki tangga kedua daripada sembilan negara. Kita juga telah berjaya memenangi pingat emas dalam acara bola sepak yang menjadi penutup temasya tersebut, apabila Malaysia berjaya menundukkan Singapura 3-1 dalam perlawanan akhir.

Pada bulan Mei lepas, saya telah melawat dan berpuas hati dengan tahap persediaan negara menghadapi temasya sukan gilang gemilang ini. Dalam lawatan saya ke Bandar Sukan Malaysia, saya yakin bahawa kerja-kerja penambahbaikan terhadap infrastruktur di Kompleks Sukan Bukit Jalil seperti Stadium Nasional, Pusat Akuatik dan Axiata Arena akan membawa kejayaan dalam penganjuran dua temasya sukan kebanggaan ASEAN ini, insya-Allah.

Seperti yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober tahun lepas, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM450 juta khusus untuk penganjuran Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 ini. Ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan dalam mempromosi dan membangunkan acara kesukanan kerana ianya menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya.

Tidak kiralah apa pun sukannya, rakyat Malaysia tetap teguh berdiri di belakang atlet-atlet kebanggaan negara, dari badminton hinggalah ke lumba basikal, dari bola sepak hinggalah ke gimnastik. Kita juga tidak lupa kepada pencapaian cemerlang atlet-atlet paralimpik negara seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhamad Ziyad Zolkefli yang sudah pastinya akan bersemadi dalam catatan sejarah negara.

Kalah atau menang, kita tidak dapat nafikan bahawa atlet-atlet negara telah berjaya menyatukan hati dan semangat rakyat Malaysia, dan saya sangat teruja melihat persediaan dan latihan gigih yang telah dijalani oleh atlet-atlet kebangsaan yang berkongsi semangat dan harapan mereka di laman-laman media sosial mereka, seperti Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa dalam acara lumba basikal, Farah Ann Abdul Hadi dalam acara gimnastik dan ramai lagi yang nampaknya tidak sabar untuk mengharumkan nama negara di gelanggang sendiri.

Sama-samalah kita berdiri teguh di belakang wira-wira kita ini dengan memberikan sokongan moral agar mereka mendapat suntikan semangat dan kekuatan untuk meraih prestasi yang lebih cemerlang, bukan sahaja untuk temasya Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 bulan hadapan, tapi juga untuk acara-acara sukan antarabangsa yang bakal berlangsung, termasuk Sukan Olimpik di Tokyo pada tahun 2020 kelak.

Dengan semangat Malaysia Boleh, Insya-Allah, kejayaan yang lebih cemerlang menanti negaraku, Malaysia.

Leave a Reply