News_archive

Strategi Pembangunan Infrastruktur Kesihatan Di Sarawak Dikaji

By Sunday January 16th, 2011 No Comments

KOTA SAMARAHAN, 16 Jan (Bernama) — Kerajaan persekutuan bersedia untuk menggunakan pendekatan berbeza dalam merangka dan melaksanakan pembangunan infrastruktur kesihatan di Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini termasuk membuat kajian kemungkinan penggunaan tele perubatan yang mampu menjimatkan kos dan berpotensi meningkatkan sistem penyampaian kesihatan terutama di kawasan luar bandar.

“Sebagai contoh Klinik Kesihatan Belaga yang baru dilancarkan semalam tidak mempunyai doktor mungkin cadangan Ketua Menteri tadi boleh dikaji,” katanya semasa merasmikan Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari Ahad.

Pusat Jantung HUS yang menelan belanja RM400 juta itu beroperasi dengan 500 kakitangan dan 60 katil. Unit pesakit luarnya dijangka menerima lebih 20,000 pesakit tahun ini.

Najib berkata, amat sukar untuk menempatkan seorang doktor di kawasan terpencil seperti Belaga dan mungkin kaedah alternatif akan dicari bagi membolehkan penduduk yang menetap di kawasan terpencil mendapat akses rawatan perubatan sepatutnya.

Mengenai Pusat Jantung HUS beliau berkata, ia menawarkan perkhidmatan yang mampu dibayar dengan serendah RM5 dan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam isu membabitkan kesihatan rakyat.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mencadangkan penggunaan tele perubatan sebagai salah satu kaedah terbaru yang boleh dilaksanakan di Sarawak berdasarkan kedudukan geografi negeri.

“Berdasarkan penempatan penduduk yang berselerak di Sarawak kaedah tele perubatan sesuai dilaksanakan,”katanya.

Abdul Taib berkata, Australia adalah salah satu model terbaik dalam pelaksanaan tele perubatan dan antara ciri positif kaedah tersebut ialah ia adalah kos efektif berbanding dengan kaedah pembinaan infrastrukur seperti hospital yang memerlukan perancangan dan perbelanjaan yang banyak.

“Strategi membina satu hospital satu daerah tidak sesuai dilaksanakan di Sarawak,” katanya.

Ini kerana realitinya kaedah tersebut tidak memberi jaminan penduduk di luar bandar akan mendapat rawatan perubatan yang sepatutnya, katanya.

Beliau berkata, ini kerana ada penduduk sukar untuk pergi ke hospital berdekatan berikutan kekangan pengangkutan dan ini akan menjadikan perkhidmatan hospital tersebut tidak digunakan oleh penduduk di pedalaman.

Sumber : Bernama

Leave a Reply