News_archive

Spratly: Setuju selesai melalui rundingan

By Thursday June 4th, 2009 No Comments

BEIJING 5 Jun – Malaysia dan China bersetuju menyelesaikan isu tuntutan bertindih melalui rundingan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ia selari dengan pendirian kedua-dua negara yang banyak mempunyai persamaan dalam berhadapan dengan isu antarabangsa.

”Salah satu yang mungkin diberi tumpuan ialah tuntutan bertindih dan ini kita bersetuju supaya dirundingkan,” katanya pada sidang akhbar di hari terakhir lawatan rasmi empat hari ke China di sini hari ini.

Antara tuntutan bertindih membabitkan Malaysia dan China ialah isu Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Kepulauan Spratly selain dituntut oleh China juga dituntut seluruhnya atau sebahagiannya oleh Malaysia, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Brunei.

China baru-baru ini memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan, termasuk Kepulauan Spratly.

Negara ini juga telah memaklumkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Beijing memiliki ‘kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan’ terhadap perairan yang boleh meningkatkan ketegangan serantau itu.

Bagaimanapun, kata Najib, perkara itu tidak menjadi hambatan kepada perkembangan hubungan dua hala yang amat baik antara Malaysia dan China. – Utusan

Vietnam juga baru-baru ini turut menekankan tuntutannya terhadap beberapa pulau di Laut China Selatan manakala pada Mac lalu, Filipina meluluskan rang undang-undang mempertahankan haknya terhadap sebahagian Kepulauan Spratly.

Suruhanjaya PBB mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS) kini menerima penghujahan daripada negara-negara terbabit dalam usaha untuk memperjelaskan batas-batas luar tuntutan maritim sesebuah negara apabila pelantar benua menganjur lebih 200 batu nautika dari sesuatu garis dasar seperti pantai negara itu.

Tuntutan sedemikian selalunya bertindan dan bercanggah dengan tuntutan maritim negara lain.

Malaysia dan Vietnam membentangkan penghujahan bersama kepada PBB pada 6 Mei lalu, seminggu sebelum tarikh akhir 13 Mei yang ditetapkan oleh PBB untuk negara-negara terlibat mengemukakan tuntutan ke atas pelantar benua yang menganjur.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply