News_archive

Singapura sedia timbang

By Friday May 22nd, 2009 No Comments

SINGAPURA 22 Mei – Kerajaan Singapura kekal berkeras tidak mahu Tambak Johor dirobohkan kerana ia tidak melihat sebarang justifikasi merobohkannya dan kos membina jambatan baru di situ melibatkan perbelanjaan yang terlalu besar.

Namun, republik itu bersedia untuk menimbang cadangan Malaysia untuk membina jambatan ketiga, yang bakal menghubungkan negara pulau itu dengan kawasan di timur Johor, khususnya di Pengerang dan Desaru, sebagai usaha meningkatkan lagi pergerakan rakyat, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara.

Mendedahkan perkara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, “jambatan ketiga bukan untuk menggantikan Tambak (Johor), tambak akan kekal kerana Singapura tidak nampak justifikasi untuk menggantinya.

“Kita perlu faham bahawa kita memerlukan persetujuan dan kerjasama Singapura untuk menggantikan Tambak. Saya pula tidak mahu melalui laluan yang sama, yang pernah dilalui sebelum ini, kita sudah melalui laluan itu tiga kali dan ia telah mencetuskan banyak masalah.”

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar dengan media Malaysia di sini hari ini, hari terakhir lawatan rasmi dua harinya ke republik pulau ini.

Menurut Najib, satu kajian mendalam akan dilakukan untuk menilai daya maju projek membina jambatan ketiga itu oleh satu jawatankuasa bersama peringkat menteri yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Mah Bow Tan.

“Matlamatnya ialah untuk memudahkan perhubungan antara rakyat dan perjalanan ulang-alik Malaysia-Singapura, untuk itu satu kajian akan akan dibuat mengenai kemungkinan kita bina jambatan baru di sebelah timur Singapura berdepan dengan Pengerang dan Desaru.

“Kita harap jambatan baru itu bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan tersebut,” jelas Perdana Menteri.

Ditanya mengenai jadual pembinaan dan tempoh siap jambatan tersebut, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian selepas kajian menyeluruh termasuk daya maju projek itu dibuat terlebih dahulu.

Menjawab soalan sama ada projek jambatan bengkok atau lurus bagi satu hari nanti menggantikan Tambak Johor masih relevan, Najib menegaskan, cadangan tersebut tidak lagi dirundingkan ekoran keengganan kerajaan Singapura.

“Kita ada masalah (menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baru) kerana mengikut perjanjian, kita perlu mendapatkan persetujuan daripada Singapura, kita tidak boleh buat secara unilateral (satu hala).

“Singapura hanya mahu melebarkan lagi tambak tersebut, termasuk membina landasan rel bagi memudahkan laluan orang ramai dan barangan, ini satu langkah yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi mengatasi kesesakan di situ,” tegasnya lagi.

Terdahulu dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Najib berkata, cadangan membina jambatan baru itu dikemukakan kali pertamanya kepada Singapura bagi memenuhi objektif meningkatkan perhubungan rakyat, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara.

“Kawasan yang dihubungkan itu masih belum dimajukan sepenuhnya, sekali gus ia menawarkan potensi pembangunan yang besar kepada kedua-dua negara,” ujar beliau.

Hsien Loong pula dalam ucapannya pada sidang akhbar itu menjelaskan, beliau telah menceritakan kepada Najib mengenai sejarah meningkatkan hubungan darat antara Malaysia dan Singapura.

“Saya menyatakan sokongan kepada matlamat meningkatkan hubungan dan memudahkan pergerakan antara rakyat di kedua-dua negara.

“Saya juga mencadangkan alternatif-alternatif lain termasuk melebarkan Tambar (Johor) dan membina landasan rel bagi membolehkan lebih ramai penduduk berulang alik menggunakan tambak tersebut,” katanya. – UTUSAN

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply