Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Singapura Berminat Pada Jambatan Ketiga Di Johor - Najib Razak
News_archive

Singapura Berminat Pada Jambatan Ketiga Di Johor

By Thursday June 11th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Singapura melahirkan rasa minatnya mengenai pembinaan jambatan ketiga di Johor yang menghubungkan Malaysia dan republik itu.

“Konsep jambatan ketiga itu di bahagian timur Johor adalah sesuatu yang kita akan teruskan dan Singapura agak berminat untuk jambatan ketiga itu diadakan.

“Apabila kita ada jambatan ketiga kita boleh membangunkan keseluruhan bahagian timur (Johor) sehingga Mersing dan terus ke Desaru.

“Singapura telah menyatakan bahawa (kawasan itu) mempunyai potensi menjadi satu lagi Nusa Jaya seperti di Bali,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perundingan Bajet 2010 di Kementerian Kewangan di sini, Khamis.

Bercakap sidang akhbar selepas itu, Najib berkata minat Singapura itu dilahirkan oleh Menteri Mentor republik itu, Lee Kuan Yew pada pertemuan mereka di sini beberapa hari lepas.

“Beliau menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk membina jambatan ketiga itu. Jambatan itu boleh membangunkan Johor dan daerah seperti Mersing, Desaru dan seterusnya ke Kuantan di Pahang.

“Saya sudah mengarahkan pihak terbabit untuk menyediakan kajian kemungkinan dan perunding untuk projek itu. Ia ada kaitan dengan pembangunan koridor Iskandar,” katanya.

Bagaimanapun, kata Najib, bila projek itu akan dilaksanakan belum ditentukan lagi.

“Kita tidak boleh menjangka bila projek itu akan dilaksanakan kerana kita kena tengok hasil kajian kemungkinan dan kos. Malaysia dan Singapura akan membiayai kos jambatan ketiga itu,” katanya.

Mengenai keganasan terbaru di selatan Thailand, beliau berkata Malaysia akan tetap memberi bantuan kepada rakyat Thai di situ terutamanya daripada segi pendidikan.

“Program-program pendidikan akan diteruskan di mana pembangunan modal insan diutamakan. Ianya amat perlu,” kata Najib.

Katanya secara keseluruhanya keganasan di selatan Thailand telah menurun hasil langkah-langkah ke arah keamanan yang telah diambil oleh kerajaan baru di Thailand di mana sosio-ekonomi rakyat dipentingkan.

Mengenai satu pertanyaan dalam blog Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat sama ada wajar atau tidak parti itu keluar daripada Barisan Nasional, Najib berkata MCA tidak berhasrat meninggalkan BN.

Sumber : Bernama

Leave a Reply