News_archive

Sime Darby majukan wilayah China

By Thursday June 4th, 2009 No Comments

BEIJING 5 Jun – Syarikat konglomerat tempatan, Sime Darby Berhad (Sime Darby) diberi kepercayaan oleh kerajaan China untuk membangunkan sebuah kawasan perbandaran baru di Wiefang membabitkan keluasan 600 kilometer persegi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui kepercayaan itu, Sime Darby akan membangunkannya sebagai kawasan pertumbuhan baru yang besar.

“China bersetuju pada dasarnya untuk serahkan kawasan di Weifang untuk dimajukan oleh Sime Darby sebagai agensi peneraju. Penyertaan pihak-pihak lain akan ditentukan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di hari terakhir lawatan rasmi empat harinya ke China di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, perkara itu telah disahkan oleh Setiausaha Parti Komunis China. Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam juga telah memberi penerangan kepada beliau berhubung perkembangan itu.

“Kawasan itu akan menjadi lebih daripada sebuah kawasan perbandaran. Ia merupakan sebuah wilayah baru. Ia menjadi satu pembangunan yang menarik kerana banyak syarikat Malaysia boleh mengambil bahagian bukan sahaja Sime Darby,” katanya.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, setakat ini pihak terbabit tidak mendedahkan kos yang terlibat.

Projek tersebut kata Najib akan menjadi ikon dan mercu tanda dalam pembabitan syarikat Malaysia di negara ini.

Ia juga katanya, menunjukkan pengiktirafan dan keyakinan kerajaan China terhadap keupayaan syarikat Malaysia.

“Kalau tidak ada isyarat daripada kepimpinan pusat China tentu ia tidak boleh dilakukan. Tetapi perincian perbincangan telah dilakukan leh Sime Darby dengan kerajaan tempatan.

“Tetapi kerajaan tempatan di kuasai kerajaan pusat. Kalau kepimpinan pusat dengan kita, kerajaan Malaysia tidak ada hubungan baik perkara seperti ini tidak boleh berlaku.

“Ini merupakan kerja dan usaha semua pihak,” jelas Perdana Menteri.

Pihak kerajaan kata Najib, akan memainkan peranan secara tidak langsung kerana ia akan dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat lain dari Malaysia.

Ketika ini Sime Darby telah terlibat dalam pelbagai projek pembangunan di 12 wilayah di China.

Pelaburan syarikat itu di negara ini telah memberi pulangan RM3.8 bilion pada tahun lalu dengan aktiviti utama ialah permotoran, hartanah, pelabuhan, loji rawatan air, peralatan berat dam produk berasaskan kelapa sawit.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply