BlogDiplomatic Relation

Sidang Media Malaysia-Indonesia

By Friday February 6th, 2015 No Comments

joko_fb

Pagi ini, saya menyambut kedatangan Presiden Indonesia @Joko Widodo untuk kunjungan hormat dan mesyuarat perbincangan dua hala di Pejabat Perdana Menteri. Lawatan ke Malaysia ini adalah lawatan negara sulungnya.

Kami telah membincangkan beberapa isu dan kerjasama dalam sektor ekonomi, pendidikan, tenaga kerja dan wilayah maritim sebelum menghadiri sidang akhbar bersama.

Dalam sidang akhbar tersebut, saya telah mengumumkan bahawa kerajaan Indonesia dan Malaysia telah bersetuju untuk meneruskan usaha penyelesaian persempadanan maritim dengan meneruskan usaha sedia ada selain melantik duta khas yang mewakili kedua-dua negara untuk mencari formula dengan kebarangkalian ia diterima rakyat Malaysia dan Indonesia.

Mengenai isu pencerobohan nelayan, kami bersetuju untuk meneruskan apa yang telah disepakati selama ini, iaitu sekiranya nelayan mana-mana negara memasuki kawasan pertindihan, mereka akan diusir tanpa diambil tindakan, namun sekiranya mereka menceroboh, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka.

Selain itu, saya telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri Sarawak telah bersetuju untuk mewujudkan sekolah-sekolah Indonesia di Sarawak untuk para pekerja Indonesia di negeri itu. Presiden Jokowi dan saya turut bersetuju supaya hubungan perdagangan Malaysia – Indonesia terus dikembangkan lagi untuk manfaat serantau.

Berikutan perkembangan ini, saya yakin perdagangan dua hala negara dengan Indonesia akan kekal positif dan akan terus menggalakkan pelaburan serta perdagangan antara kedua-dua negara, meskipun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Leave a Reply