Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Shahrizat Kekal Ketua Wanita Umno - Najib - Najib Razak
News_archive

Shahrizat Kekal Ketua Wanita Umno – Najib

By Thursday March 22nd, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat mengumumkan bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kekal sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata ini kerana Shahrizat dipilih oleh anggota-anggota pergerakan itu sebagai ketua.

“Maka, tiada sebab untuk beliau letak jawatan (sebagai Ketua Wanita),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Wanita UMNO bersama Presiden Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Shahrizat dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kira-kira 7,000 anggota wanita dari seluruh negara menghadiri perhimpunan itu.

Isu peletakan jawatan Shahrizat berbangkit apabila suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail selaku pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation didakwa menyalah guna peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta untuk projek pengeluaran daging.

Pada 12 Mac lepas, Mohamad Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta berhubung pembelian dua unit kondominium serta dua lagi pertuduhan menyalahi Akta Syarikat.

Mengenai gesaan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim supaya Shahrizat meletak jawatan demi menjaga kredibiliti parti, pergerakan wanita, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan, Najib berkata isu itu telah diselesaikan.

Perdana Menteri berkata beliau, Muhyiddin dan Tengku Adnan bersemuka dengan kedua-dua pemimpin wanita itu di mana kedua-duanya berjanji untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi meraih kemenangan buat Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata Shahrizat dan Kamilia juga berjanji untuk turun padang bersama-sama pemimpin-pemimpin pergerakan wanita yang lain, bergerak sebagai satu unit kukuh dan jitu yang dapat menggalas tanggungjawab besar seperti ditetapkan parti kepada pergerakan itu.

Najib berkata tekad itu dapat dilihat menerusi ikrar yang dilafazkan semua anggota pergerakan itu pada perhimpunan di mana mereka sebulat suara menyatakan kesanggupan dan komitmen tinggi untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan besar buat BN pada pilihan raya akan datang.

“Pengakuan yang Wanita UMNO buat ialah untuk menyokong kepimpinan saya dan Muhyiddin dan mendukung tanggungjawab menjamin kemenangan yang besar untuk pilihan raya akan datang serta menyokong kepimpinan Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO,” katanya.

Beliau berkata di sebalik isu antara Kamilia dan Shahrizat, moral Wanita UMNO masih berada pada tahap tertinggi, kuat dan kukuh sepertimana ikrar yang dilafazkan bahawa pergerakan itu bersama kedua-dua pemimpin tersebut akan turun padang dan bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Kami akan memastikan mereka akan bekerjsama sebagai satu pasukan. Adalah penting bagi Wanita sebagai sayap parti ini utuh dan boleh berfungsi sepenuhnya serta bersungguh-sungguh,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply