News_archive

Setuju selesai isu legasi – Najib

By Friday May 22nd, 2009 No Comments

SINGAPURA 22 Mei – Malaysia dan Singapura bersetuju isu-isu legasi antara kedua-dua negara diselesaikan dengan mengambil kira semangat menang-menang agar isu-isu tersebut tidak lagi menghambat kemajuan hubungan dua hala, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, isu-isu legasi seperti Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA), yang sudah berlarutan lebih 18 tahun, tidak akan dibenarkan menjejaskan hubungan kedua-dua negara bagi memajukan hubungan itu ke hadapan.

“Kami sedar terdapat lebih banyak keuntungan jika kita wujudkan hubungan yang lebih berpotensi dan produktif, berbandingkan membiarkan isu-isu legasi itu menghambat hubungan akrab Malaysia-Singapura,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana di sini hari ini.

Terdahulu, Najib, yang melakukan lawatan rasmi dua hari ke negara pulau ini bermula semalam, mengadakan pertemuan empat mata dengan Hsien Loong selepas majlis sambutan rasmi kedatangan Najib di Istana. Mereka kemudian mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat delegasi.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop; Menteri Pengangkutan. Datuk Seri Ong Tee Keat; dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

POA yang diusahakan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, yang kini Menteri Mentor, ditandatangani pada November 1990.

Ia menyentuh antara lain isu perjanjian pembelian serta harga air, dan status serta pembangunan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Najib berkata, kedua-dua Perdana Menteri yang tidak mahu isu-isu legasi ini berlarutan lebih lama lagi telah mengarahkan Menteri Luar mereka membincangkan isu tersebut dan merangka cara-cara pelaksanaan.

“Kami berpendapat, ia (isu-isu legasi) dah berlarutan terlalu lama, kita tidak patut tunggu 18 tahun lagi untuk selesaikannya, mari kita bulatkan tekad, dan letakkan isu tersebut di belakang agar kita boleh melangkah ke hadapan,” tegasnya.

Hsien Loong dalam ucapannya turut mengakui keperluan untuk menyelesaikan isu-isu legasi yang diwarisi kedua-dua Perdana Menteri.

“Saya sedar ia (isu-isu legasi) perlu ditangani. Ia bukan isu mudah kerana kalau tidak ia tentu sudah diselesaikan sebelum ini, namun ia perlu diatasi, jika tidak, ia akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

“Bagaimanapun, ia tidak produktif untuk membincangkan segala tindakan dan cadangan menyelesaikan isu ini secara terbuka kerana salah satu kesilapan yang kita lalui selama ini ialah isu-isu tersebut telah mengambil kepentingan politik, retorik politik, sekali gus menyukarkan penyelesaian,” jelas beliau.

Najib dan Hsien Loong turut membincangkan pelaburan Singapura dalam koridor pembangunan Johor, Iskandar Malaysia sebagai mercu tanda hubungan akrab antara kedua-dua negara.

Kata Najib, Malaysia mencadangkan agar Singapura melabur dalam projek-projek kesihatan dan spa memandangkan bidang itu mendapat perhatian dan minat penduduk penduduk kedua-dua negara. – UTUSAN

serta pelancong asing.

“Singapura mencadangkan untuk melabur dalam projek pembangunan bercampur dengan mengambil kira prospek peralihan pelaburan dari Singapura ke Iskandar Malaysia,” tambahnya.

Perdana Menteri mendedahkan beliau dan Hsien Loong turut membincangkan isu keselamatan melibatkan kedua-dua negara, termasuk kes penangkapan suspek Ketua Jemaah Islamiah (JI), Mas Selamat Kastari.

“Saya memberitahu Perdana Menteri Hsien Loong mengenai penangkapan Mat Selamat, kami akan pastikan Mat Selamat boleh disoal siasat oleh pihak berkuasa Singapura dan kami sedia berkongsi maklumat risikan berkenaannya dengan Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, Hsien Loong mengucap terima kasih dan tahniah kepada Malaysia ekoran penangkapan Mat Selamat, yang meloloskan diri dari sebuah pusat tahanan di sini pada tahun lepas, tetapi berjaya ditangkap oleh pasukan keselamatan Malaysia dalam satu operasi di Johor Bahru 1 April lalu.

“Kami juga menyuarakan kesediaan untuk mewujudkan kerjasama lebih rapat antara agensi-agensi penguatkuasaan di kedua-dua negara bagi memerangi keganasan,” tambah beliau.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply