News_archive

Sesuatu yang baik wajib dilakukan – Najib

By Wednesday June 17th, 2009 No Comments

SERIAN 18 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO percaya sesuatu perkara yang baik seperti cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bukan sahaja harus malah boleh disifatkan sesuatu yang wajib untuk dilakukan.

Perdana Menteri berkata, UMNO bersikap terbuka tentang cadangan tersebut walaupun masih belum ada sebarang perbincangan mengenainya dibuat, baik daripada UMNO dan parti pembangkang.

Sehubungan itu beliau melahirkan rasa hairan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa supaya meletak jawatan jika meneruskan hasrat menubuhkan kerajaan perpaduan.

”Saya tak tau apa di sebalik kenyataan yang dibuat oleh Nik (Abdul) Aziz sebab pada kita, sesuatu yang mendatangkan kebaikan, adalah satu yang harus diusahakan… malah lebih pada harus, kita wajib untuk membuat perkara-perkara yang baik.

”Pendirian kita sesuatu perkara yang boleh mendatangkan rahmat daripada Allah wajib dilakukan,” kata beliau pada sidang akhbar di Majlis Pemimpin Bersama rakyat di Kampung Pichin di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nik Abdul Aziz yang disiarkan di akhbar hari ini yang meminta Nasharudin Mat Isa meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Menteri Besar Kelantan itu turut meminta Nasharudin supaya keluar daripada Pas dan menyertai UMNO kerana tindak-tanduknya itu lebih banyak menimbulkan kecelaruan kepada ahli parti itu.

Beliau dengan nada marah menyifatkan pemimpin nombor dua Pas itu sebagai tidak bermoral kerana telah membuat ‘sampah’ dalam parti tersebut.

Pada satu soalan mengenai Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa meminta UMNO tidak meletak calon pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai bagi membuktikan benar-benar serius dengan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, Najib berkata, pilihan raya tidak kena mengena dengan cadangan tersebut.

Sambil ketawa dengan soalan tersebut, Perdana Menteri berkata cadangan penubuhan kerajaan perpaduan mestilah melalui proses perbincangan dan rundingan dan tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil tersebut.

”Itu kata dia (Husam), saya tidak taulah kenapa pulak dia (Husam) nak ambik kesempatan daripada soal kerajaan perpaduan kalau dia sendiri menentang kemungkinan untuk kita mewujudkan kerajaan perpaduan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply