News_archive

Sepuluh muka baru dalam pentadbiran Najib

By Thursday April 9th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) — Sepuluh muka baru disenaraikan dalam barisan pentadbiran baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggotai 28 menteri dan 40 timbalan menteri.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berumur 60 tahun itu merupakan pemegang ijazah dalam bidang fizik dari Princeton University, doktor falsafah (Ph.D) dalam Ekonomi dan Pendidikan Sosiologi daripada University of Chicago dan juga Felo Fullbright di Stanford University.

Pembabitannya dalam politik bermula apabila beliau menyertai Gerakan, anggota komponen Barisan Nasional (BN) pada 1982. Pada 1991, beliau adalah pengerusi BN Pulau Pinang. Beliau adalah Naib Presiden Gerakan dari 1991 hingga 2007, apabila beliau menjadi Pemangku Presiden parti.

Pada 1990, beliau dilantik Ketua Menteri ketiga Pulau Pinang dan merupakan yang termuda memegang jawatan berkenaan di negeri itu. Beliau menjadi ketua menteri selama 18 tahun sebelum mengundurkan diri tahun lepas apabila Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Bekas pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharum pula dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Anak kelahiran Kedah berumur 48 tahun itu sering diundang dalam program agama di RTM1 iaitu “Forum Perdana Ehwal Islam” yang disiarkan setiap malam Jumaat.

Jamil Khir, yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Kebangsaan Malaysia, telah berkhidmat dalam angkatan tentera selama 23 tahun dan turut fasih berbahasa Arab.

Seorang lagi muka baru ialah anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mukhriz, 44, mula membabitkan diri dalam politik pada 2004 sebagai anggota Umno Kubang Pasu, selepas bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad, bersara daripada jawatan perdana menteri.

Beliau juga aktif dalam misi kemanusiaan anjuran Aman Malaysia.

Sementara itu, pelantikan Timbalan Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan selaras dengan objektif kementerian itu untuk menarik lebih banyak golongan muda untuk menyokong agenda kerajaan.

Lulusan undang-undang berumur 39 tahun itu menceburi politik hanya lima tahun lepas apabila memenangi kerusi Parlimen Muar pada pilihan raya umum 2004.

Beliau berjaya mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 sedangkan ramai daripada calon BN gagal berbuat demikian.

Razali adalah juga pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan anggota Jawatankuasa Khas bagi Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Datuk Raja Nong Chik Najmuddin Raja Zainal Abidin, 56, yang mengangkat sumpah sebagai senator Khamis kini ialah Menteri Wilayah Persekutuan yang baru dengan ramai menyifatkan pelantikannya itu sebagai tepat.

Raja Nong Chik, 56, yang merupakan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, dikatakan mempunyai latarbelakang yang sesuai dan berpengalaman luas dalam sektor ekonomi dan perindustrian.

Seorang lagi muka baru ialah anggota Parlimen Batu Pahat dan bekas senator Dr Mohd Puad Zarkashi, yang dilantik Timbalan Menteri Pelajaran.

Beliau juga dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno buat julung kalinya dalam pemilihan parti bulan lepas.

Turut membarisi muka baru dalam pentadbiran kerajaan kali ini ialah anggota Parlimen Pontian, Ahmad Maslan yang dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ahmad, 43, yang juga Ketua Penerangan Kelab Anggota Parlimen BN terkenal dengan kelantangannya di Parlimen.

Anggota Parlimen Papar dan Ketua Puteri Umno yang baru Datuk Rosnah Rashid Shirlin kini ialah Timbalan Menteri Kesihatan.

Setiausaha Agung, MCA Datuk Lee Chee Leong yang juga anggota Parlimen Kampar merupakan seorang daripada dua Timbalan Menteri Luar.

Mengakhiri senarai ialah Senator Heng Seai Kie, juga daripada MCA, dilantik sebagai seorang daripada dua Timbalan Menteri Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply