News_archive

Seni Bina Penting Bagi Bangunan Sederhana – Najib

By Saturday July 2nd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) — Corak seni bina di negara ini bukan hanya penting bagi projek mercu tanda seperti Menara Berkembar Petronas tetapi juga bagi bangunan yang kecil dan sederhana yang dekat dengan komuniti, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata seni bina yang baik juga boleh digunakan dalam bangunan seperti sekolah, pusat komuniti dan tempat beribadah kerana reka bentuk seperti itu bukan sahaja menjadi eksklusif golongan kaya tetapi juga perlu dibuka kepada semua rakyat Malaysia.

Katanya dalam landskap sosio ekonomi Malaysia, perumahan masih menjadi isu kritikal bagi semua rakyat Malaysia terutama dari segi kualiti dan kemampuan.

“Dalam masa terdekat ini, saya akan melancarkan skim perumahan baru mampu milik yang akan menyediakan pembeli rumah dengan pinjaman 100 peratus pada kadar yang mampu bagi golongan berpendapatan rendah dasn sederhana.

Najib berkata demikian semasa berucap pada perasmian Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2011 (DATUM) di sini Jumaat malam.

“Saya mahu semua keluarga berpendapatan sederhana dan rendah mampu memiliki rumah yang selesa pada harga berpatutan, tahan lama serta dilengkapi sistem tenaga alternatif boleh diperbaharui bagi mengurangkan bil bulanan dan pada masa sama memperbaiki standard kehidupan mereka,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut diberikan penghormatan dengan dianugerahkan sebagai Ahli Kehormat PAM oleh Presiden PAM, Boon Wee Chee.

Najib juga turut melancarkan sebuah buku berjudul “30 Under 40” yang menampilkan 30 arkitek terbaik Malaysia berusia bawah 40 tahun.

Sumber : Bernama

Leave a Reply