News_archive

Semua Keputusan Yang Dibuat Perlu Tepat – Perdana Menteri

By Sunday February 20th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai peneraju negara beliau sentiasa memastikan semua keputusan yang dibuat adalah betul dan tepat bagi membolehkan Malaysia terus maju dan makmur.

Perdana Menteri berkata beliau perlu tenang tanpa memberi ruang bagi panik, cemas atau menggelabah dalam apa juga situasi kerana sebarang keputusan yang diambil dalam keadaan itu, mungkin tidak tepat atau tidak membawa kejayaan yang diharapkan.

Katanya pengalamannya dalam politik hampir 35 tahun dengan mengharungi pelbagai krisis, membolehkan beliau tabah terutamanya ketika berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam menerajui negara ini.

“Saya tak boleh nampak menggelabah ataupun cemas kerana dalam apa juga situasi sebagai pembuat keputusan muktamat bagi negara ini, saya perlu bertenang. Kalau kita bertenang kita boleh berfikir, kalau kita cemas, panik dan menggelabah kita tidak boleh berfikir dengan baik dan rasional. Kalau kita tidak berfikiran rasional kita mungkin mengambil keputusan salah,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Naserudin Abdul Fatah dari Perak pada Jamuan Petang 1Malaysia dan Sesi Dialog Bersama Rakan Internet di Perkarangan Seri Perdana, di sini Ahad.

Lebih 600 orang berumur 16 hingga 72 tahun dari seluruh negara menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan buat kali kedua di kediaman rasmi Perdana Menteri.

Najib berkata sebagai Perdana Menteri, kalau membuat 10 keputusan, beliau perlu memastikan 10 keputusan itu tepat dan pastikan tidak ada keputusan yang salah walaupun satu, kerana ia mungkin boleh memberi kesan yang besar kepada rakyat dan negara.

“Saya memberitahu diri saya bahawa segala keputusan yang dibuat mesti membawa kejayaan 100 peratus. Jadi saya bersedia menghadapi semua cabaran supaya apa-apa keputusan yang saya buat nanti, merupakan keputusan yang amat tepat, InsyaAllah,” kata beliau.

Tambahan pula Najib berkata beliau berpegang kepada konsep perlu memberi tumpuan yang lebih serius bagi tugas berbanding diri sendiri.

“Saya berkata kepada semua rakan saya, waktu siang bagi saya menjadi semakin panjang dan waktu malam menjadi semakin pendek. Tetapi ada harga untuk pengorbanan itu. Bila kita berundur nanti kita rasa puas hati sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna,” katanya.

Katanya walaupun kadangkala beliau meluangkan masanya untuk bersenam atau bermain golf, namun yang lebih penting bagi Perdana Menteri adalah memfokuskan kepada tugasnya.

Menjawab soalan S. Thulasingam dari Selangor berhubung langkah kerajaan membangunkan sukan bola sepak negara, Najib berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM20 juta untuk mendirikan Akademik Bola Sepak yang akan dikendalikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (PBM).

Katanya kejayaan pasukan negara Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki Cup buat kali pertama tahun lepas, jelas menunjukkan bahawa ketetapan dan usaha yang diambil bagi memantapkan mutu sukan bola sepak berjalan lancar.

“Kita cuba banyakkan bentuk piramid dalam bola sepak. Mereka yang muncul ke atas sebagai impak kepada piramidnya bilangannya kecil tetapi dasar atau asas itu yang besar.

Kalau dasar piramid itu tak besar, bilangan yang akan naik itu semakin menguncup. Jadi usaha awal untuk membangunkan bola sepak itu penting sebab ia merupakan sukan nombor satu di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, lebih banyak aktiviti dan kejohanan perlu diadakan di peringkat sekolah dan daerah bagi mencungkil bakat-bakat baru sejak mereka di bangku sekolah sekaligus memperbanyakkan kelengkapan bersukan termasuk padang permainan.

“Kita juga telah mendirikan sekolah-sekolah sukan. Salah satu sebab mengapa Pasukan Harimau Malaya kita begitu berjaya kerana mereka telah bersama-sama di sekolah sukan sejak tingkatan tiga lagi, di mana 17 daripada 25 anggota pasukan Harimau Malaya merupakan lulusan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang saya telah tubuhkan ketika saya menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu,” katanya.

Najib yakin masa depan sukan bola sepak begitu cerah memandangkan pasukan bimbingan K. Rajagobal kini menunjukkan prestasi yang baik.

“Saya percaya Malaysia boleh mencipta kejayaan dalam bola sepak. Sebab itu, bila mereka mempelawa saya untuk tengok perlawanan separuh akhir, minta saya duduk atas Jalan Bukit Bintang pun saya sanggup atas jalan bersama rakyat Malaysia.”

“Tak pernah dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri tengok permainan bola sepak duduk atas jalan. Saya duduk di atas jalan kerana saya nak tunjuk bahawa tidak ada status dan penghadang bila menyokong pasukan negara,” kata beliau.

Menjawab soalan Ainul Aizat Ishak dari Kuala Lumpur berhubung lagu yang beliau minati, Najib berkata beliau lebih meminati lagu-lagu tahun 70-an dan 80-an berbanding lagu sekarang.

“Saya sememangnya tidak memahami muzik yang anak saya meminatinya. Namun ada beberapa lagu baru Melayu yang saya suka. Saya lebih kepada pendengar biasa, biasanya suka mendengar ketika saya bersenaman di ‘treadmill’, ketika menonton History Channel sama ada mengikuti berita atau mendengar lagu,” kata Perdana Menteri.

Menjawab soalan John Brito Victor dari Kedah tentang halangan yang beliau hadapi dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia, Najib berkata antara cabaran utama ialah soal kefahaman yang sebenarnya apakah sebenarnya 1Malaysia.

“Sebab bila kita perkenalkan satu gagasan mungkin ada pelbagai interprestasi apa sebenarnya 1Malaysia, jadi tugas utama yang saya kira sebagai cabaran ialah untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia supaya mereka memahami apakah sebenarnya kefahaman dan maksud gagasan 1Malaysia itu supaya mereka dapat menghayatinya,” katanya.

Bagi soalan Mohamad Ayzuddin Bujang dari Negeri Sembilan mengenai harapan dan visi Perdana Menteri bagi mencapai Wawasan 2020, Najib berkata apa yang perlu kini ialah usaha meningkatkan pendapatan perkapita yang tinggi.

“Kita bermula dengan pendapatan RM7,500, ia merupakan permulaan kita. Kita nak sampai kepada RM15,000 dalam masa 10 tahun, menggandakan pendapatan. Jadi kita dah faham cabaran yang perlu kita usahakan. Dan apa yang patut saya lakukan ialah untuk menentukan bagaimana kita capai matlamat itu.

Sebab itu kita perkenalkan Program Transformasi Kerajaan, transformasi ekonomi dan Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 dan lain-lain lagi,” kata Najib.

Beliau yakin sekiranya negara mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 6 peratus setiap tahun bagi 10 tahun dan dengan kadar pelaburan RM444 juta, pastinya negara bertukar wajah sebagai negara maju berpendapatan tinggi.

Sumber : Bernama

Leave a Reply