News_archive

Semangat 1Indian 1Malaysia Warnai Sambutan ‘Empat Dalam Satu’

By Friday April 15th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Sambutan serentak tahun baru Tamil, Telugu, Malayalee dan Sikh pada malam ini anjuran MIC merupakan antara usaha berterusan parti itu untuk mendekati pelbagai kumpulan etnik dalam masyarakat India di negara ini.

Setiausaha Agung MIC S. Murugesan berkata sambutan diberi nama “extravaganza budaya empat-dalam-satu” itu di Dewan Konvensyen Mines Resort City mencakupi semangat 1Indian dan 1Malaysia.

Empat kumpulan etnik utama dalam masyarakat India di sini meraikan tahun baru masing-masing pada tarikh berlainan dengan masyarakat Telegu merupakan yang pertama untuk meraikan Ugadhi pada 4 April, masyarakat Tamil dan Sikh masing-masing meraikan Puthandu dan Vaisakhi semalam dan masyarakat Malayale pula meraikan tahun baru Vishu pada Jumaat.

“Sambutan ini merupakan satu inisiatif kebudayaan yang strategik hasil ilham Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menunjukkan parti itu terbuka kepada semua kumpulan etnik India selain bagi menonjolkan MIC yang baru,” kata Murugesan kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual menyertai 12,000 yang akan hadir pada acara itu yang bermula pada 8.30 malam manakala anggota masyarakat India di seluruh negara dijangka menyaksikannya melalui siaran langsung menerusi Astro.

Semasa acara itu juga Astro akan melancarkan satu rancangan khas buletin komuniti bagi masyarakat India.

Sumber : Bernama

Leave a Reply