News_archive

Sektor perkhidmatan diperkasa

By Friday June 19th, 2009 No Comments

PEKAN 20 Jun – Kerajaan akan memperkasakan sektor perkhidmatan dengan sasaran untuk mencapai pertumbuhan sebanyak 70 peratus sekali gus menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika ini sektor tersebut menyumbang sebanyak 54 peratus pada KDNK.

“Peratusan sektor perkhidmatan akan ditingkatkan kepada 70 peratus dan ia akan menjadi lambang kemajuan negara pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada upacara pecah tanah Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim di Tanjung Agas di sini hari ini.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menyempurnakan upacara pecah tanah itu.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Duta Republik Korea Selatan di Malaysia, Yang Bong Ryull.

Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim akan dibangunkan di kawasan seluas 1,639 hektar Tanjung Agas oleh sebuah syarikat, Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn. Bhd. (TASBMS) yang dipengerusikan oleh Tengku Abdul Rahman.

Projek bernilai RM2 bilion yang dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun itu akan menjadi pusat sehenti moden bagi industri maritim, minyak dan gas yang pertama seumpamanya di Pahang dan mungkin bagi Malaysia.

Ia dibahagikan pada beberapa bahagian antaranya untuk segmen pembaikan dan penyenggaraan, limbungan kapal, limbungan fabrikasi, terminal petroleum, kawasan perkilangan, pusat bandar, perumahan dan komersial.

Najib yang juga Menteri Kewangan seterusnya berkata, perkhidmatan merupakan antara sektor yang menjadi punca pendapatan negara selain perindustrian dan pelancongan.

Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan akan mencipta model ekonomi baru supaya sektor perkhidmatan terus berkembang.

Antara usaha-usaha yang akan dilaksanakan, katanya, ialah dengan mewujudkan taman-taman industri yang sekali gus merancakkan sektor perkhidmatan di sesuatu kawasan.

Misalnya, jelas beliau, Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim di Tanjung Agas akan mewujudkan pelbagai industri termasuk dalam sektor perkhidmatan dan pembekalan.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply