BlogFeatured Articles

Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih

By Friday June 17th, 2016 No Comments

Pada petang tadi, saya telah menghadiri Program Ramadan anjuran Najib Razak Club (NRC11) di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

SBJK adalah satu-satunya sekolah yang dibiayai kerajaan di seluruh dunia bagi membantu kanak-kanak gelandangan, yatim piatu, miskin tegar dan mangsa kepada gejala sosial mendapatkan peluang pendidikan.

sbjk1

Ada dalam kalangan anak-anak di sini dahulunya tidak berpeluang belajar kerana tidak mempunyai dokumen penting seperti sijil lahir dan ada juga dalam kalangan ibu bapa mereka terjebak dalam masalah sosial.

Di bawah kelolaan Pengetua, En Zulkernai Fauzi bersama-sama dengan guru-guru dan staf, sekolah ini telah memberi pendidikan kepada ratusan pelajar kurang bernasib baik sejak ia ditubuhkan pada Ogos 2013. Setakat tahun ini, terdapat seramai 143 pelajar belajar di sini. Inisiatif sebegini penting untuk memastikan mereka tidak terperangkap dalam “vicious cycle” hidup yang mereka alami selama ini.

sbjk2

Saya berpeluang untuk meninjau kawasan sekolah bagi melihat proses pengajaran dan pembelajaran dari peringkat pra sekolah hingga peringkat menengah. Saya dapati modul yang dilaksanakan di sekolah ini begitu menyeluruh dan menekankan keseimbangan akademik dan kemahiran seperti menjahit, memasak dan muzik. Tiada yang lebih menggembirakan hati saya apabila melihat keriangan anak-anak yang bermain di perpustakaan permainan, bernyanyi lagu kanak-kanak dalam kelas Bahasa Inggeris serta menyanyi dan bermain alatan seperti ahli muzik pakar di studio muzik. Pendidikan stimulasi sebegini penting dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut intelektual dan sahsiah mereka.

Ada di antara anak-anak ini berkongsi cita-cita mahu menjadi doktor, guru, pegawai bank dan ada juga yang mahu menjadi pemain bola sepak. Saya yakin impian ini tidak mustahil dan suatu hari nanti sekolah ini mampu melahirkan golongan professional.

sbjk3

Saya turut bertemu dengan dua orang bekas pelajar, Mohamad Shakirin dan Safwanah Aldeena. Saya difahamkan mereka adalah antara pelajar perintis sekolah ini pada tahun 2013 dan pernah menyandang jawatan ketua pelajar dan timbalan ketua pelajar. Mohamad Shakirin yang mendapat pendidikan rasmi pertama di sini ketika berusia 17 tahun kini bertugas sebagai pembantu chef di kantin SBJK. Safwanah pula sekarang bertugas sebagai guru tadika di Ampang. Mereka mendapat peluang pendidikan hasil tekad warga pendidik yang mahu anak-anak ini belajar dan berjaya.

Saya faham keadaan yang dihadapi pelajar-pelajar di sini. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai penginapan yang tetap dan selesa. Oleh itu, kerajaan telah meluluskan pembinaan asrama di sekolah ini. Pembinaan asrama ini akan dapat menampung kira-kira 200 pelajar. Dengan adanya asrama ini, saya berharap pelajar di sini dapat belajar dengan lebih selamat dan selesa, jauh daripada permasalahan sosial yang dihadapi dan tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Asrama ini juga akan memberi akses kepada pelajar-pelajar yang tinggal jauh daripada kawasan sekolah.

sbjk4

Syabas kepada Encik Zulkernai Fauzi dan guru-guru SBJK atas usaha cemerlang dan kesungguhan mereka memastikan anak-anak ini terdidik. Mereka adalah guru-guru yang melakukan tugas luar biasa bagi memastikan tiada anak-anak yang terpinggir dan tercicir daripada mendapat pendidikan.

Saya juga difahamkan bahawa Datuk Aznil Nawawi telah melakukan banyak aktiviti bersama anak-anak di sini, membawa keceriaan kepada mereka serta membantu meningkatkan penjenamaan sekolah ini. Saya berharap usaha murni Datuk Aznil ini akan diteruskan lagi atas kapasiti beliau sebagai Ikon SBJK untuk memastikan kesinambungan kebajikan sekolah dan pendidikan anak-anak di sini.

Kepada anak-anak di SBJK, selamat maju jaya. Berusahalah untuk berjaya kerana hanya melalui pendidikan, anda boleh mendapatkan masa depan yang lebih baik. Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat berpuasa.

Leave a Reply