News_archive

Sebuah kejujuran

By Sunday September 25th, 2011 No Comments

ASSALAMUALAIKUM. Sebenarnya Pak Nil mencuri-curi masa untuk melunaskan tugas menulis untuk Borak Pak Nil minggu ini. Dengan jadual kerja yang berlambak ini, Pak Nil sangat bersyukur dengan penciptaan teknologi komputer yang membolehkan manusia bekerja di mana sahaja.

Ketika menulis artikel ini, Pak Nil berada di dalam kereta di kawasan parkir Istana Budaya sebelum memulakan latihan teater muzikal The Secret Life of Nora yang akan mula beraksi beberapa hari sahaja lagi. Jika dahulu, sememangnya kita mengambil masa untuk menyiapkan sesuatu kerja, namun kini ia bukan alasan lagi untuk berlengah.

Sememangnya jadual Pak Nil sejak akhir-akhir ini sangat sibuk dan syukur kerana pada usia hampir 50 tahun ini, Pak Nil masih produktif dan diberi kepercayaan sedemikian rupa. Namun begitu kepenatan dan lelah bekerja ini seperti hilang dan berbaloi apabila berkesempatan untuk bertemu Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk beberapa kali dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Bermula Jumaat 16 September lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-54 di Dataran Merdeka. Namun ketika membuat liputan itu, Pak Nil cuma memerhatikan PM dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dari jauh sahaja sebab mereka berada di pentas orang kenamaan. Selesai perbarisan, rupanya PM dan isteri masih sempat bermesra dengan peserta yang menjayakan acara walaupun pada ketika itu cuaca agak panas.

Melihat apa yang disaksikan itu, Pak Nil dapat rasakan dan yakin yang PM bukan bermuka-muka atau sekadar tujuan propaganda. Beliau begitu ingin mendekati orang muda negara ini. Di laman media sosial juga, Pak Nil dapat saksikan kesungguhannya membuka ruang untuk semua lapisan masyarakat berhubungan dengannya walaupun dia tahu ada komen yang bakal dibacanya bukan datang daripada orang yang menyokongnya. Namun keikhlasannya untuk berhubungan dengan rakyat secara terus-menerus tanpa sebarang protokol adalah sesuatu yang harus dipuji.

Sejak PM menjemput Pak Nil menyertai persidangan Mejabulat di laman web 1 Malaysia untuk membincangkan kaedah transformasi negara, Pak Nil bagai tidak percaya bahawa dia mahu mendengar pendapat daripada semua lapisan kerjaya juga.

Yang lebih hebat, pendapat kami yang terbabit didengarinya sendiri bukan melalui birokrasi carta organisasi kerajaan tetapi secara duduk semeja bersama golongan pakar daripada industri yang lain. Alhamdulillah, perbincangan itu selesai dilakukan dan rumusan mengenainya juga sudah disiapkan. Pak Nil yakin, rumusan itu akan diguna pakai untuk mengangkat golongan muda.

Kagum dengan ketekunan PM memberi ‘update’ mengenai perjalanan kerjanya di laman sosial Facebook dan Twitter, Pak Nil kadang-kadang tertanya-tanya sama ada sememangnya PM sendiri yang melakukannya.

Oleh sebab itu, Pak Nil teruja untuk mengetahui jawapan kepada soalan yang bersarang di fikiran Pak Nil. Bersama-sama pengikut, Pak Nil berpusu-pusu mengirimkan mesej kepada PM untuk bersama-sama dengan anak muda 1 Malaysia di Stadium Merdeka sempena Konsert Suara Kami pada Sabtu lalu.

Pak Nil yang agak skeptikal bahawa PM akan melayan permintaan kami melalui Twitter ini, terperanjat pada keesokan harinya apabila menerima mesej daripada PM sendiri yang menggunakan twitthandle @NajibRazak. Katanya: “Terima kasih atas jemputan. Jadual saya agak padat, tapi manalah tau kan…”

Sebaik menerima balasan mesej sebegitu di Twitter, Pak Nil menggigil kerana terperanjat pemimpin besar memberi respon kepada mesej Pak Nil! Ada antara pengikut Twitter Pak Nil begitu yakin yang PM akan datang ke konsert Suara Kami dan ada juga yang menganggap bahawa balasan Twitter PM itu sebagai satu jawapan yang tidak menjanjikan apa-apa. Menyedari bahawa PM mempunyai jadual yang padat dan dimaklumkan PM harus menghadiri majlis Rumah Terbuka Selangor di i-City, Pak Nil tidak meletakkan apa-apa harapan.

Namun pengikut akaun Pak Nil mengambil peranan untuk ‘memujuk’ PM untuk muncul juga di konsert itu. Seingat Pak Nil, sehingga petang Sabtu beberapa jam sebelum konsert berlangsung pun, Pak Nil masih terlihat ada mesej yang ‘memujuk’ PM.

Dalam pada itu, harapan Pak Nil kian tipis apabila melihat cuaca seperti tidak begitu baik kerana hujan turun dengan lebatnya dari pagi sehinggalah konsert bermula. Namun, konsert harus diteruskan dan peminat masih tetap muncul untuk memeriahkan suasana. Tatkala Pak Nil selaku pengacara ingin mengumumkan persembahan Yuna, tiba-tiba Pak Nil diberitahu bahawa PM dan isteri tiba-tiba muncul untuk membuat kejutan bukan sahaja kepada Pak Nil malah untuk semua golongan remaja yang sedang kuyup berhibur ketika hujan yang tidak henti turunnya.

Mendapat berita itu sahaja, kaki Pak Nil sudah mula menggeletar dan apabila melihat kedua-duanya berada di hadapan Pak Nil di atas pentas, rasanya bagai bermimpi. Bila ditanya mengenai kesudian PM untuk bersama kami di konsert itu walaupun jemputan hanya melalui Twitter, PM tangkas menolak ke tepi protokol kerana baginya, cara jemputan itu tidak penting tetapi keikhlasan menjemput itu lebih utama. Pak Nil tabik ‘spring’ pemimpin sebegini kerana tahu menyesuaikan diri dengan keadaan. Yang mana urusan rasmi dan yang mana urusan santai.

Jika ada di antara yang menonton merasakan ini adalah ‘drama’ dan ‘gimik’ semata, bagaimana pula dengan insiden Pak Nil ‘culik’ PM ke studio Era pada Selasa lalu? Sebenarnya, PM hanya dijadualkan dalam rangka kerjanya untuk ditemuramah oleh stesen radio Mix.FM dan Hitz.FM sahaja yang kebetulan terletak bersebelahan dengan studio Era.

Melihat kehadiran PM di sana, kami di Riuh Pagi Era sedikit rasa tersisih dan cemburu. Lebih-lebih lagi melihat keterujaan Ray dan Haniff yang mengintai-intai di studio sebelah, Pak Nil jadi kuat semangat untuk memenuhi impian mereka bersama dengan PM. Ketika dalam perjalanan untuk meninggalkan studio Hitz, PM yang terlebih dahulu tersenyum pada Pak Nil dan menyapa. Tanpa lengah Pak Nil menjemput PM untuk masuk ke studio Era biar seketika untuk ditemubual dan tanpa protokol, beliau bersetuju. Tercapailah impian kami untuk menemubual Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 itu!

Lain betul ‘aura’ Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak ini! Beliau betul-betul mengotakan janjinya untuk mendahulukan rakyat sehingga memadam protokol yang selalunya menjadi garisan pemisah di antara pemimpin dan rakyat. Jangan disangka ini tulisan politik atau berbau propaganda. Tulisan ini adalah atas pengalaman Pak Nil sendiri dan tiada kepentingan apapun di sebaliknya kecuali kejujuran penilaian daripada mata dan hati Pak Nil.

Wassalam.

Sumber : myMetro

Leave a Reply