Saudara dan saudari. Saya harap semua akan lebih berjaga-jaga pada musim…

By Thursday May 13th, 2021 No Comments

Saudara dan saudari.

Saya harap semua akan lebih berjaga-jaga pada musim perayaan kerana keadaan Covid sekarang adalah sangat genting dan penularan lebih agresif.

Buat kali pertama, jumlah kes baru Covid di Malaysia hari ini (4,765) telah melepasi negara Indonesia (4,608). Pada saya ini sangat membimbangkan.

Dari segi saiz penduduk, jumlah kes baru Covid Malaysia telah melepasi negara Ameria Syarikat buat kali pertama semalam selepas kita melepasi United Kingdom dua minggu lalu.

Bilangan pesakit ICU (641 orang) dan pesakit paling serius yang memerlukan bantuan pernafasan (244 orang) adalah pada rekod tertinggi.

Bilangan kluster aktif sebanyak 462 adalah rekod tertinggi.

Bilangan kematian baru hari ini adalah 39 orang. Jika kadar ini berterusan untuk tempoh setahun, jumlah mangsa mampu mencecah 14,200.

Sehingga hari ini, 1,761 nyawa telah terkorban akibat Covid. Ia bukan sekadar angka. Mereka yang terkorban ini adalah bapa, ibu, suami, isteri, anak, kakak, nenek, datuk kepada sebuah keluarga. Mereka kehilangan ahli keluarga mereka.

Kita ucapkan takziah kepada ahli-ahli keluarga mangsa dan moga mereka tabah mendepani kehilangan orang disayangi.

Saya telah kongsikan kebimbangan bulan lepas. Covid telah berakar umbi dalam komuniti akibat pembukaan semula sekolah dan sektor-sektor ekonomi tertentu pada ketika penularan Covid masih tinggi susulan PKP 2.0 separuh masak.

Pada saya, tidak membuat keputusan pantas untuk tutup semula sekolah apabila lebih 23,000 murid didapati positif Covid pada ketika kluster-kluster pendidikan semakin bertambah pada awal bulan April adalah satu kesilapan yang amat besar sebab ianya membolehkan Covid menular dengan meluas secara senyap melalui kanak-kanak yang tidak bergejala dan tidak sedar mereka positif Covid.

KP KKM turut mengakui, apabila dia kata 80% kes adalah sporadik iaitu tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster.

Varian baru yang lebih berbahaya juga sedang mengancam dalam komuniti setelah kerajaan terlambat 4 bulan untuk naikkan semula tempoh kuarantin dari 7 hari ke 14 hari.

Vaksin pula lambat dengan hanya 2.2% penduduk Malaysia lengkapi dua dos.

Sebab itu, jaga diri dan jaga keluarga kita.

Jangan keluar rumah untuk ke sana ke sini ke sana ke sini jika tiada urusan penting.

Saya faham, anda perlu keluar bekerja kerana SOP yang mengelirukan. Bertabahlah. Jika tiada urusan penting, duduklah di rumah. Kita sendiri mampu mengatasi wabak ini dan kita sudah buktikan tahun lalu. Kita usah berharap lagi pada orang lain, tetapi marilah kita ratakan lengkuk dan hentikan penularan.

Saya sayang kamu semua dan berdoa semua akan selamat semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157885028040952/

Leave a Reply