News_archive

'Satukan rakyat'

By Saturday May 23rd, 2009 No Comments

Konsep 1Malaysia kukuh perpaduan, tidak pinggir Perlembagaan: PM

PEKAN: Pendekatan 1Malaysia bagi memperkukuhkan teras perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini bukan bermaksud kerajaan mengetepikan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih berpegang teguh dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan kerana pendekatan 1Malaysia adalah bagi memastikan tiada kumpulan etnik atau subetnik di seluruh negara yang terpinggir dan tidak diberi perhatian sewajarnya.

“1Malaysia berpaksikan kepada bumi nyata dan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum dan keturunan dalam negara ini, sama ada yang tinggal di rumah panjang, kampung pedalaman dan setinggan mendapat perhatian daripada kerajaan.

“Jika kita dapat satukan mereka, kita dapat wujudkan satu negara bangsa dengan satu impian untuk menjadikan Malaysia lebih kuat, gagah, maju dan berjaya pada masa depan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Pahang, di sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PPKM Kebangsaan, Datuk Mahmood Pawan Teh dan Yang Dipertua PPKM Pahang, Datuk Abdul Ghani Sulaiman.

Najib selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, memperkenalkan konsep baru bagi pentadbiran kerajaannya iaitu `1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’.

Ia adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri terdahulu dalam agenda membangun serta memajukan negara ini dan juga aspirasinya untuk menterjemah dan meneruskan formula pentadbiran untuk mencapai status negara maju menerusi Wawasan 2020 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang yang diperjuangkan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya juga menggalakkan pesara kerajaan menyuburkan minda serta mementingkan kesihatan kerana ia adalah punca kepada kecergasan fizikal sekali gus masih mampu memberi sumbangan kepada masyarakat, agama dan negara.

“Jika minda kita diisi dengan pengisian yang segar serta sesuai seperti memperbanyakkan membaca buku dan bahan ilmiah, badan kita lebih sihat dan cergas.

“Kecergasan fizikal juga penting dan ini boleh dilakukan dengan bersenam tanpa membabitkan perbelanjaan kerana apabila badan dan minda sihat, umur kita dengan izin Allah boleh bertambah,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, segala tuntutan yang dikemukakan PPKM perlu diteliti Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dulu sebelum dibincang dan diluluskan Kabinet.

Terdahulu, Abdul Ghani dalam ucapannya mengemukakan tuntutan demi kebajikan pesara iaitu memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian pencen minimum RM720 kepada kakitangan awam yang berkhidmat kurang daripada 25 tahun,

Tuntutan lain ialah memberi wang ihsan setiap kali kerajaan mengumumkan bonus kepada kakitangan awam, memberi pencen terbitan kepada suami atau isteri yang dikahwini selepas bersara dan melantik seorang Senator bagi menjaga hal ehwal golongan pesara di Dewan Negara.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply