News_archive

Satu Lagi Langkah Ke Arah Peningkatan Hubungan Britain-Malaysia

By Tuesday May 15th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi berada di Britain bagi melakukan lawatan kerja yang singkat yang tidak boleh disangsikan akan mengukuhkan lagi hubungan Britain-Malaysia yang sememangnya sudah kukuh.

Beliau berada di London kira-kira 10 bulan lepas semasa menemui rakan sejawatannya, David Cameron, di No 10 Downing Street. Tempat itu merupakan pejabat dan kediaman rasmi Perdana Menteri Britain dan alamat paling terkenal di United Kingdom.

Pertemuan di “Nombor 10” itu telah mendorong Cameron melakukan lawatan balas ke Malaysia pada bulan lepas dan Najib telah menjadi tuan rumah pada majlis makan tengah hari di Seri Perdana, yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya.

Semasa berada di Kuala Lumpur, Cameron turut mengakui Malaysia sebagai “rakan lama yang hebat Britain” dan malah menyatakan hubungan Britain dengan Malaysia sebagai tidak boleh dipisahkan apabila beliau memetik peribahasa terkenal Malaysia “Bagai aur dengan tebing…like the bamboo and the river bank.”

Cameron pastinya gembira apabila mengetahui bahawa Malaysia telah mempamerkan persahabatan itu apabila ia akur dengan permintaan pengeluar kereta sport British yang mengalami kerugian supaya dibenar meneruskan pengeluaran di daerah Norfolk.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Datuk Seri Mohd Khamil Jamil baru-baru ini terbang ke Britain untuk memberikan ikrarnya sebagai pemilik baharu Lotus selepas kumpulan yang dipelbagaikan itu membeli Proton, yang memiliki pengeluar kereta sport British itu.

Spekulasi telah berkisar bahawa pengeluarannya boleh dipindahkan ke seberang laut jika DRB-Hicom berhajat untuk menjual syarikat itu kepada pembeli di China dan itu boleh memberi kesan kepada kira-kira 1,200 pekerja di Norfolk.

Oleh kerana kesuraman mengenai kemungkinan kehilangan pekerjaan diketepikan, kini bergantung kepada kerajaan Britain untuk menepati janji bagi menghidupkan semula ikrar 10 juta dari dana pertumbuhan serantau bagi menyokong rancangan untuk membangunkan empat model baharu Lotus dan mewujudkan 1,000 pekerjaan baharu di kilang Hethel, yang telah ditangguhkan sehingga masa depan Lotus ditentukan.

Pada Julai lepas, Najib telah membawa beberapa menteri kabinet semasa lawatannya ke London yang turut menyaksikan penandatanganan beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian ditandatangani. Lawatan Najib itu tidak disangsikan menyediakan batu loncatan bagi jalinan hubungan yang lebih baik.

Berikutan pertemuan Cameron dengan Najib di Putrajaya, kedua-dua pemimpin itu bersetuju menetapkan sasaran menggandakan perdagangan dua hala kepada 8 bilion (RM39.11 bilion) menjelang 2016 dengan menubuhkan kumpulan kerja bersama bagi mengkaji potensi itu.

Mereka juga bersetuju mengukuhkan perkongsian di dalam pendidikan dan latihan kemahiran, yang termasuk meluaskan akses rakyat Malaysia untuk memasuki universiti British dan menyokong transformasi ekonomi Malaysia dengan menekankan kemahiran vokesyenal dan perkongsian penyelidikan.

Kira-kira 14,000 rakyat Malaysia kini belajar di UK dan lebih 45,000 lagi belajar di Malaysia bagi mendapatkan kelayakan UK.

Sebagai tambahan, 150,000 rakyat Malaysia bekerja bagi syarikat British manakala projek pelaburan Malaysia telah mewujudkan ratusan pekerjaan baharu di Britain sejak dekat yang lepas.

Rakyat Malaysia hari ini turut memiliki sesetengah syarikat utama British, yang termasuk kelab bolasepak seperti Queens Park Rangers, yang berupaya kekal di dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), dan Kelab Bolasepak Cardiff City, yang sekali lagi gagal mencapai peningkatan ke EPL bagi musim 2012/13.

Britain adalah pelabur ketiga terbesar di Malaysia di kalangan negara Eropah selepas Jerman dan Belanda. Malaysia adalah rakan dagangan ke-35 terbesar Britain bagi barangan dan ke-38 terbesar bagi perkhidmatan.

Pada 2010, perdagangan keseluruhan Malaysia dan Britain dicatatkan lebih RM13 bilion.

Semasa di London, Najib akan turut menyaksikan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH), yang akan disenaraikan, menjalin perkongsian strategik dengan dua syarikat komoditi British. Ini sekali lagi akan membantu merapatkan dan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan British-Malaysia.

FGVH, cabang komersil Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), adalah pengeluar minyak sawit terbesar Malaysia. Adalah dianggarkan ia mengeluarkan 18 peratus daripada keluaran minyak sawit Malaysia, yang dicatatkan kira-kira 18.9 juta tan metrik pada tahun lepas.

Sumber : Bernama

Leave a Reply