News_archive

‘Sasaran bukan angan-angan’

By Tuesday June 14th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR: Prestasi ekonomi memberangsangkan sejak pelancaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) lapan bulan lalu membuktikan sasaran kerajaan untuk mencapai pertumbuhan purata enam peratus sehingga 2020 bukan angan-angan Mat Jenin sebaliknya realiti yang bakal dinikmati rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, dalam tempoh agak singkat, perubahan atau transformasi ekonomi sudah mula kelihatan berdasarkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun pertama 2011 yang menunjukkan ekonomi Malaysia berada di atas landasan betul dan stabil.

“Walaupun pertumbuhan KDNK berada pada tahap sederhana iaitu 4.6 peratus (namun) pertumbuhan perbelanjaan dan pelaburan masing-masing sebanyak 6.6 peratus dan 6.5 peratus menggambarkan keyakinan pengguna serta pelabur yang semakin meningkat.

“Ini diperkukuhkan dengan paras Indeks Sentimen Pengguna yang melepasi tahap 100 mata pada 108.2 mata sementara Indeks Keadaan Perniagaan meningkat ke 113.3 mata dari 99.5 mata pada suku tahun ke empat 2010 mencerminkan keyakinan golongan peniaga.

“Pelaburan swasta pula mengatasi pelaburan awam berdasarkan pembentukan modal kasar tetap, sekali gus menunjukkan sasaran kerajaan bukanlah angan-angan Mat Jenin tetapi realiti yang bakal dinikmati bersama,” katanya yang pada majlis pelancaran 15 inisiatif merangkumi tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, 15 inisiatif itu merangkumi NKEA Pendidikan; Perubatan; Pertanian; Kandungan Komunikasi dan Prasarana; Borong dan Runcit; Minyak, Gas dan Tenaga serta Perkhidmatan Perniagaan itu membabitkan pelaburan sebanyak RM63.38 bilion.

“Ia juga meningkatkan GNI (pendapatan negara kasar) sebanyak RM66.31 bilion dan membuka peluang pekerjaan sebanyak 63,531. Secara keseluruhannya, ETP kini mencatatkan sejarah rekod pelaburan berjumlah RM170.28 bilion dengan GNI sebanyak RM220.15 bilion dan membuka 362,396 peluang pekerjaan baru,” katanya.
Di bawah NKEA Pendidikan, kawasan seluas 64.7 hektar di Bandar Springhill, Port Dickson akan dibangunkan Kumpulan UCSI iaitu syarikat induk Universiti UCSI sebagai sebuah bandar pendidikan perubatan bersepadu manakala Kumpulan Pendidikan SEGI menerajui usaha meningkatkan tahap pendidikan tenaga pekerja tadika dan tabika kepada sekurang-kurangnya diploma menerusi konsortium Pusat Latihan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE).

NKEA Perubatan pula merangkumi pembinaan dua lagi pusat perubatan pakar iaitu Pusat Perubatan Sime Darby di Ara Damansara dan Park City oleh Kumpulan Perubatan Sime Darby dan pembinaan kemudahan BioXcell iaitu taman serta persekitaran bio-teknologi di Iskandar Malaysia, Johor oleh Biocon.

NKEA Pertanian merangkumi penternakan udang bersepadu oleh JEFI Aquatech Resources Sdn Bhd dan pemprosesan sarang burung sedia dimakan oleh Yanming Resources Sdn Bhd manakala di bawah Kandungan Komunikasi dan Prasarana tiga projek dilaksanakan iaitu perkhidmatan perhubungan video berselenggara, perluasan rangkaian jalur lebar serantau dan menjejaki sarang burung walit menggunakan teknologi pengenalpasti frekuensi radio (RFID).

NKEA Borong dan Runcit pula menyaksikan pengenalan Jualan Bersepadu 1Malaysia yang menyatukan tiga jualan murah setiap tahun kepada satu jualan murah besar yang diselaraskan pada 15 Jun hingga 31 Ogos ini.

Tiga projek di bawah NKEA Minyak, Gas dan Tenaga ialah program meningkatkan kecekapan tenaga; pembangunan kilang penyulingan dan petroleum bersepadu (Rapid) dan pembelian strategik perkhidmatan khusus manakala NKEA Perkhidmatan Perniagaan juga berkembang apabila AMD merasmikan pusat perkhidmatan antarabangsa yang baru di Cyberjaya.

Sumber : myMetro

Leave a Reply