News_archive

Sambutlah Krismas Dengan Memahami Rakan-rakan Malaysia Dengan Lebih Baik – Najib

By Saturday December 24th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat Malaysia agar menyambut Hari Krismas dengan memahami rakan-rakan rakyat Malaysia dengan lebih baik, dan menghargai mereka atas kepelbagaian dan kekuatan yang mereka bawa kepada negara ini.

“Apa yang paling saya suka mengenai waktu Krismas ialah ia mengingatkan kita semua untuk menyebarkan perasaan muhibah dan kegembiraan, tepat pada masanya untuk menyambut Tahun Baru dan membuat permulaan yang baru. Tidak salah sekiranya kita diingatkan sekali-sekala,” katanya.

Dalam perutusan Hari Krismas yang dimuatkan dalam laman blog beliau, www.1Malaysia.com.my, Najib berkata beliau sentiasa percaya bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan, “kita mesti merebut peluang untuk memupuk persefahaman yang lebih baik antara rakyat Malaysia daripada budaya dan kepercayaan yang berbeza.”

Perdana Menteri berkata beliau mengetengahkan kepercayaan beliau ini pada Julai lepas apabila beliau mengetuai delegasi kerajaan untuk membuat kunjungan hormat kepada Pope Benedict XVI di kediaman musim panas beliau di Castel Gandolfo, dan berkongsi wawasan beliau mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global.

“Dari lawatan kerja itu, Malaysia dan Holy See (Vatican City) telah bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik, yang saya harap akan membawa kepada pautan dan dialog antara agama yang lebih erat antara kita,” katanya.

Begitu juga di tanah air, Najib berkata beliau turut komited untuk mengukuhkan lagi interaksi yang telah lama wujud dengan masyarakat Kristian.

“Saya sentiasa berusaha untuk bertemu rakyat dari pelbagai kepercayaan. Saya akan meneruskan amalan ini untuk mendapatkan idea-dea dan pendapat anda untuk kebaikan masyarakat kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata di Malaysia, sambutan yang khusus bagi budaya dan agama semakin diterima dan disambut lebih ramai penduduk negara ini, contohnya adat memberi hadiah yang selalunya diamalkan sewaktu Krismas.

“Menarik jika diperhatikan bagaimana amalan pelbagai budaya serta agama di negara kita ini bersepadu antara satu sama lain dan seterusnya sebati dalam masyarakat kita,” kata beliau sambil mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Kristian.

Masyarakat Kristian di seluruh dunia menyambut Hari Krismas Ahad.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan Hari Krismas meminta rakyat meneruskan sikap bersederhana dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Beliau berkata membina sebuah negara yang pelbagai kaum dan kepercayaan seperti di Malaysia bukan satu perkara mudah, tetapi ia berjaya dilakukan sebab kuncinya terletak kepada perasaan saling menghormati dan menerima antara satu sama lain.

“Saya percaya kesederhanaan dalam agama merupakan benteng paling itu dalam menjaga hubungan sesama kita rakyat Malaysia sekali gus membendung amalan ekstremisne dalam mana-mana agama,” katanya.

Keharmonian hubungan antara kaum dan agama di negara ini merupakan nikmat kurniaan Tuhan yang sangat berharga sehingga ia dicemburui banyak pihak kerana di luar sana, mereka masih gagal berbuat seperti yang telah Malaysia lakukan, katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk terus memelihara keharmonian antara individu dan masyarakat berlainan agama yang menjadi tunjang negara sebelum ini.

“Adalah sesuatu yang amat menyedihkan sekiranya kita mempunyai tanggapan bahawa tanggungjawab mewujudkan dan mengekalkan perpaduan hanya dipikul oleh kerajaan semata-mata kerana tugas tersebut hakikatnya terletak di bahu kita semua selaras dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa rakyat tanpa mengira anutan agama mereka dan bangsa sebenarnya berkongsi masa depan dan hala tuju yang sama di negara ini.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, dalam perutusannya, percaya bahawa musim perayaan seperti Krismas akan terus menyediakan peluang untuk menggalakkan rakyat Malaysia daripada semua agama dan segenap lapisan masyarakat yang mengamalkan kesederhanaan, untuk berganding bahu bersama-sama memerangi ekstremisme serta penyakit sosial yang lain.

Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata tahun-tahun kebelakangan ini amat mencabar dengan perbezaan dan pertikaian melanda banyak masyarakat, dan Malaysia turut dilanda cabarannya sendiri, berikutan kepelbagaian serta kerumitan yang mendepaninya.

“Kita semua, pemimpin dalam masyarakat madani dan paderi, sektor awam dan swasta, perlu meneruskan penglibatan kita ke arah mencapai pemahaman yang lebih mendalam dan untuk melaksanakan komitmen kita terhadap keterangkuman, kesederhanaan dan belas kasihan ketika melaksanakan pelbagai tanggungjawab kita dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam perutusannya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sambutan Krismas jelas menunjukkan kemajmukan dan ia adalah realiti di negara ini.

“Dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju, kepelbagaian budaya dan kepercayaan mestilah disantuni dengan aman dan bijaksana. Ia harus digembleng menjadi sumber kekuatan, bukan permusuhan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply