News_archive

Sambutan Rumah Terbuka Serlah Gagasan 1Malaysia – Rais

By Monday January 23rd, 2012 No Comments

JELEBU, 23 Jan (Bernama) — Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semakin terserlah menerusi penganjuran rumah terbuka pelbagai perayaan di negara ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata setiap kali rumah terbuka sesuatu perayaan diadakan, ia sentiasa dihadiri masyarakat berbilang kaum sekaligus menceminkan konsep itu.

“Seperti rumah terbuka Krismas tahun lalu yang diadakan di Kajang, Selangor baru-baru ini berjaya menarik kehadiran pelbagai kaum iaitu lebih 30,000 kehadiran.

“Kita di Malaysia kaya dengan kebudayaan, sebab itu kita perlu hormat semua perayaan dan menjemput rakan-rakan kita dari kaum lain untuk meraikan perayaan rumah terbuka bersama,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Pekan Pertang di sini Ahad.

Justeru, Rais berkata sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina 2012 di Sitiawan, Perak pada 28 Jan depan juga bakal menyerlahkan semangat 1Malaysia dan dijangka lebih 40,000 masyarakat pelbagai kaum akan menghadirinya.

Beliau turut menyeru semua jawatankuasa Barisan Nasional peringkat bahagian dan cawangan, termasuk ketua kampung, mengenal pasti serta menyenaraikan lebih ramai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia di daerah itu.

Rais berkata ini bagi mengelak isi rumah yang berhak ketinggalan daripada mendapat bantuan RM500 daripada kerajaan.

“Pada masa ini, sekitar 8,600 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 telah menerima bantuan tersebut, tapi kita mahu meningkatkan jumlah ini kerana ramai lagi isi rumah di sini yang berpendapatan bawah RM3,000,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply