News_archive

Sambutan Negara Bagi Emir Qatar Diadakan Di Dewan Banquet Parlimen

By Monday May 18th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Majlis Sambutan Negara bagi Emir Qatar Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani yang dijadualkan diadakan di padang kawad Parlimen hari ini terpaksa diubah ke Dewan Banquet di dalam bangunan Parlimen berikutan hujan.

Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani yang dalam lawatan negara dua hari turut meluangkan masa kira-kira 15 minit menghadiri majlis sambutan negara itu.

Baginda yang diiringi oleh Permaisuri Sheikha Mozah Nasser Al-Missned tiba pada pukul 5.46 petang disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Turut sama menyambut ialah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Selepas nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara, Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani dilihat bersalam-salaman dengan para menteri kabinet yang turut hadir antaranya ialah Menteri Luar Datuk Anifah Aman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah para Duta dan Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia antaranya dari Zimbabwe, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kenya, Syria, Kemboja, Jordan dan Palestin.

Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani bersama 50 delegasinya kemudiannya dilihat berangkat meninggalkan pekarangan Parlimen kira-kira pukul 6.05 petang diikuti Tuanku Mizan dan Najib.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah kemudiannya mengiringi Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani dan Sheikha Mozah ke Hotel Mandarin Oriental, di sini, tempat penginapan rasmi baginda berdua semasa melakukan lawatan ke negara ini.

Pasangan diraja itu akan berangkat menghadiri majlis jamuan negara yang dihoskan oleh Seri Paduka Baginda berdua di Istana Negara pukul 8.00 malam ini.

Ini merupakan lawatan negara pertama Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani ke Malaysia.

Sebelum ini, baginda pernah ke Malaysia pada Oktober 2003 untuk lawatan kerja bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-10 di Putrajaya.

Lawatan negara dua hari baginda bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan baik sedia ada antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang kerjasama dua hala seperti perdagangan, perlaburan, pertahanan, perlancongan, perbankan, kewangan, industri halal dan hal ehwal Islam.

Sumber : Bernama

Leave a Reply