Speeches

Sambutan 50 Tahun Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

By Friday December 16th, 2011 No Comments

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya telah mengizinkan pertemuan pada malam ini yang amat bermakna. Saya amat menghargai jemputan yang diberikan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia atau PENA yang mengundang saya untuk menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Jubli Emas atau 50 Tahun Usia PENA, dan juga Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga. Saya difahamkan, majlis ini turut dihadiri oleh penulis-penulis prolifik bermula dari generasi muda sehinggalah kepada penulis unggul yang terdiri daripada Sasterawan Negara dan pemenang Anugerah Penulisan Asia Tenggara atau S.E.A Write Award.

Bagi pihak kerajaan saya ingin menyatakan bahawa kita mengiktiraf dan sentiasa menghargai peranan serta sumbangan golongan sasterawan,  penulis dan karyawan dalam susur galur sejarah pembangunan negara bangsa Malaysia. Sesungguhnya ceritera kejayaan Malaysia bukan semata-mata dilakar di bilik-bilik darjah, kuliah, bilik Lembaga Pengarah, di bendang, kebun dan laut mahupun di jabatan serta kementerian, ia juga ditulis melalui novel, rencana, cerpen, berita dan puisi  yang telah membangkitkan semangat nasionalisme bagi memenangi kemerdekaan, membentuk jati diri warga dan seterusnya mengenegahkan suara nurani serta denyut nadi rakyat massa kepada para penggubal dan pelaksana dasar.

Tuan- Tuan dan Puan- Puan,

Pada malam ini, saya merasa gembira dan bertuah kerana dapat bertemu dengan golongan manusia kreatif yang penuh dengan cita-cita dan harapan. Malah saya mempercayai semua individu di hadapan saya ini adalah mereka yang sentiasa berfikir tentang cara untuk memberikan kebahagiaan dan keharmonian – bukan sahaja kepada masyarakat di sekitarnya, tetapi meliputi semua insan di muka bumi ini. Golongan sasterawan, pada hemat saya, tidak pernah berkarya untuk tujuan merosakkan negara atau berniat untuk menghancurkan keamanan, namun segala idea yang dinukilkan melalui tinta tentulah dilandasi matlamat yang menuju ke arah kebenaran dan kebaikan. Hakikat ini boleh dilihat sejak bermulanya perkembangan sastera di negara ini – baik dalam cerita tradisional yang berlegar secara lisan mahupun dalam bentuk tulisan, di mana matlamat kepengarangan seseorang pencipta adalah untuk membina keperibadian yang unggul.

Kita sendiri boleh menilai bagaimana pengarang karya agung Melayu menulisSejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah tanpa sedikit pun mengurangkan isi kandungan yang memperlihatkan hubungan erat dan jalinan mesra antara raja dengan rakyat. Sehingga kini, tidak pernah ada mana-mana pihak yang mempertikaikan niat murni pengarang karya agung ini menulis sedemikian rupa. Hal ini kerana banyak tersirat maksud di dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuahyang menyatakan jika berlakunya pertelingkahan antara Kerajaan dengan rakyat, sudah tentu ia akan menimbulkan keretakan sehingga berkemungkinan meruntuhkan sebuah Kerajaan yang baik.

Sastera moden kemudiannya mula mempengaruhi minda masyarakat dengan pemikiran transformasi untuk keluar daripada lingkungan kehidupan yang kuno dan ketinggalan dalam serba-serbinya. Pemikiran yang terkandung dalam karya pengarang yang awal antaranya Syed Sheikh Al-Hadi, Ahmad Rashid Talu, Ishak Haji Muhammad, Abdul Rahim Kajai, A. Samad Ismail,  Keris Mas, Usman Awang dan ramai lagi ternyata memberikan kesan yang besar dalam perubahan sikap kehidupan rakyat Malaysia. Walaupun kesannya tidak dapat diukur secara ketara, saya yakin dalam bentuk pembinaan jati diri, masyarakat dan negara telah banyak beroleh manfaat daripadanya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Dunia telah berubah, dan sudah tentu cabaran yang dihadapi banyak berbeza. Jika sasterawan pada masa dahulu disekat kebebasan untuk bersuara, tetapi kini sesiapa pun boleh bersuara secara bertulis pada bahan bercetak, dan juga bebas untuk memuat naik segala tulisan di laman maya. Namun kita perlu beringat, dalam kesukaran yang dihadapi sasterawan terdahulu, kita harus mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka atas usaha mereka menyuntik semangat kemerdekaan melalui tinta penulisan. Tiupan semangat melalui pembacaan itulah yang meresap ke dalam jiwa masyarakat sehingga membentuk gelombang kebangkitan nasionalisme yang berupaya mengubah landskap politik tanah air. Ya memang benar ahli politik dilihat sebagai pelaksana perubahan, namun semua orang maklum bahawa nyalaan semangatnya tetap datang daripada buah fikiran yang disemai secara halus serta tersirat oleh para penulis dan pengarang sastera tanah air.

Pasca merdeka, sasterawan terus berperanan melakukan transformasi pemikiran masyarakat dengan idea yang menyuburkan pembangunan, perpaduan kaum, dan pembebasan dari penjajahan mental. Sejak dahulu sehingga kini, saya tetap menganggap sasterawan sebagai mata dan suara hati rakyat yang melihat kepincangan dalam masyarakatnya lalu menyisipkan idea dan pedoman untuk membentuk keperibadian bangsa bagi menghadapi cabaran zaman. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan pendapat dan kritikan membina saudara dan saudari dalam menambah baik negara dan nasib rakyat. Seperti yang saya selalu sebut era kerajaan mengetahui segala-galanya dan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir

Saya menaruh harapan yang tinggi kepada penulis dalam kalangan generasi muda kerana anda di hadapan saya ini memikul tanggungjawab yang besar untuk mencorakkan minda masyarakat tempatan serta antarabangsa terhadap Malaysia melalui sastera kebangsaan yang didirikan atas asas kepelbagaian 1Malaysia. Usia yang muda bukanlah suatu alasan untuk mengecil-ngecilkan diri atau berasa rendah diri, tetapi jadikanlah peluang yang masih ada ini sebagai aset utama untuk melaksanakan tugasan tersebut kerana anda mempunyai kudrat yang kuat, masa masih panjang dan pemikiran yang meluas. Oleh itu, hadapilah cabaran di hadapan dengan penuh semangat, visi yang jelas, dan kesungguhan yang tidak terbatas.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Hari ini kita sedang berada dalam pusingan akhir ke arah wawasan nasional untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Menghadapi era ini, peranan sasterawan dalam merealisasikan perencanaan Kerajaan ini sebenarnya sangat penting. Kerajaan sedar kemajuan sesebuah negara tidak sahaja diukur dengan pencapaian kebendaan semata-mata “man does not live by bread alone”,  Malah, pencapaian dalam bentuk pemikiran,persuratan dan kebudayaan juga menjadi salah satu pengukur kemajuan sesuatu tamadun itu sendiri. Kita tidak mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dari segi kebendaan semata-mata, tetapi miskin dari segi akal budi. Kalau itu terjadi, saya anggap kita ini tidak ubah seperti sebatang pohon tanpa akar, sekali angin bertiup ia pasti menyembah bumi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Saya mengharapkan agar semua pihak dapat melipatgandakan usaha untuk mewujudkan keseimbangan ini iaitu antara kemajuan material dan kebugaran tamadun spiritual. Secara khusus,saya berpendapat setiap pengarang yang serius termasuk penulis muda harus diberikan bantuan yang sewajarnya bagi menerbit dan mengedarkan karya mereka untuk dinikmati khalayak pembaca.

PENGUMUMAN

Bagi tujuan tersebut, Kerajaan bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM5 juta yang akan disalurkan secara berperingkat selama dua tahun, iaitu RM3 juta pada tahun ini dan RM2 juta pada tahun hadapan melalui Institut Terjemahan Negara Malaysia atau ITNM bagi melaksanakan penerbitan buku – terutamanya karya asli penulis muda dalam semua genre.

Bagi membolehkan matlamat ini dapat direalisasikan secepat mungkin  Kerajaan telah mengambil keputusan agar ITNM yang merupakan sebuah GLC ditingkatluaskan mandatnya iaitu selain dari bertindak sebagai “lead agency” dalam industri penerjemahan negara sebagaimana hari ini  ia  juga akan bertanggungjawab  menerbitkan karya asli bagi membantu menggalakkan industri perbukuan negara dengan nama dan penjenamaan baru iaitu Institut Terjemahan dan Buku Malaysia atau singkatannya ITBM.

Kerajaan yakin ITBM akan berupaya menguruskan peruntukan yang diberikan bagi memastikan karya asli penulis muda yang telah diterima dapat diterbitkan dalam tempoh masa tiga (3) bulan hingga (6) bulan. Kerajaan juga mengharapkan PENA sebagai “stakeholder” dapat turut serta dalam pelaksanaan prakarsa ini dengan peranan menyaring serta memantau kualiti isi kandungan karya yang bakal dihasilkan oleh penulis muda.

Dalam masa yang sama, Kerajaan menyedari proses rumit percetakan yang sedikit sebanyak melambatkan tempoh masa penerbitan sesebuah buku. Maka saya amat  gembira mengumumkan bahawa sebuah lagi GLC iaitu  Percetakan Nasional Malaysia Berhad atau PNMB telah bersetuju membentuk kerjasama strategik bersama-sama ITBM dan PENA untuk menjayakan penerbitan karya asli penulis muda dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Marilah kita bersama-sama untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk Malaysia. Yakinilah bahawa detik-detik terbaik negara tercinta ini berada di hadapan kita bukannya telah berlalu. Janganlah kita  kemaruk bernostalgia  sehingga kita lupa kepada potensi yang ada untuk di rebut dan dijayakan.

Akhir bicara saya ingin mengucapkan tahniah kepada PENA dan iltizam tokoh-tokoh penggeraknya, baik yang telah meninggalkan kita ataupun yang masih ada, kerana terus-menerus komited memayungi tradisi persuratan berbahasa Melayu serta penulis-penulis di Malaysia dalam tempoh setengah abad ini. Semoga usaha baik ini dapat diberikan apresiasi atau penghormatan yang sewajarnya oleh semua pihak.

Dengan berkat kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA serta Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply