BlogFeatured Articles

Sahur dan Kelebihannya

By Monday June 5th, 2017 No Comments

Banyak masa saya diperuntukkan untuk kerja-kerja rasmi. Selalunya, siang berada di pejabat, malam sering kali saya dijemput untuk menghadiri program-program dan hujung minggu saya akan pulang ke Pekan atau lawatan kerja ke negeri-negeri. Jadual yang padat menyebabkan saya kurang berkesempatan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Keadaan selalunya berbeza apabila tibanya bulan Ramadan. Walau jadual kerja masih padat, setiap hari saya dan keluarga akan bersahur bersama dan mengambil peluang untuk bercerita akan perihal masing-masing. Alhamdulillah, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan walau dalam masa yang singkat. Ini juga merupakan satu perkara yang sering dilakukan ketika Ayahanda saya masih ada dahulu.

Waktu kecil dahulu, saya sering diingatkan untuk tidak terlepas sahur kerana sahur dianggap sebagai sarapan, juadah yang penting untuk kesihatan. Bagi saya, sahur ini penting sebagai sumber tenaga agar kita kekal produktif sepanjang hari. Berpuasa tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadi kurang produktif kerana sesungguhnya kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan sama ada sebagai pelajar, pekerja, anak mahupun ibu atau bapa.

Lebih penting lagi, kita juga tidak patut ambil mudah amalan bersahur ini. Kita telah diajar bahawa sahur ini, sunat hukumnya. Nabi Muhammad SAW seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban telah bersabda:
“(Makanan) Sahur itu seluruhnya adalah berkat, maka itu janganlah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, sesungguhnya Allah dan para Malaikatnya mendoakan orang-orang yang bersahur.”

Insya-Allah, bersama-samalah kita mencari keberkatan Allah SWT dengan amalan bersahur ini, nescaya kita akan terus diletakkan dalam perlindungan-Nya.

Leave a Reply