Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Sabah Sambut Baik Pembaharuan - Najib Razak
News_archive

Sabah Sambut Baik Pembaharuan

By Monday March 30th, 2009 No Comments

KOTA KINABALU 29 Mac – UMNO Sabah mengalu-alukan segala bentuk perubahan yang akan dibawa oleh Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak demi untuk kelangsungan parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Musa Aman yakin parti berkenaan akan kembali kuat dan disegani melalui pembaharuan yang akan dilakukan itu.

“(Datuk Seri) Najib kata akan lakukan pembaharuan, kita di Sabah sudah pun bersedia (dengan perubahan). Kita akan terima dengan gembira dan memberi sokongan padu kepada kepimpinan baru yang diketuai Najib.

“Kita juga ucap terima kasih banyak kepada Pak Lah (kepimpinan lepas),” katanya kepada pemberita di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung UMNO semalam untuk meminda perlembagaan parti bagi memberi peluang kepada lebih ramai ahlinya memilih kepimpinan tertinggi UMNO.

Musa yang sekali lagi memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada kali ini percaya, semua pihak akan menerima cadangan Najib itu dengan fikiran terbuka.

Mengenai calon-calon UMNO Sabah yang berjaya memenangi jawatan tertinggi parti itu, beliau berkata, ia merupakan penghargaan ahli-ahli parti terhadap kejayaan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah pada pilihan raya umum pada Mac tahun lalu.

“Bagi kami, ia satu kepercayaan dan amanat yang diberikan bukan sahaja di Sabah, tetapi seluruh negara. Ini mungkin kerana kemenangan 100 peratus UMNO Sabah pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Musa yang juga Ketua Menteri berkata, melalui kepercayaan tersebut, UMNO Sabah akan terus bekerja kuat bagi memastikan negeri ini kekal sebagai kubu kuat UMNO dan BN.

Ditanya adakah Sabah akan melobi kerajaan Pusat supaya lebih ramai pemimpin dari negeri ini diberi jawatan menteri penuh apabila Kabinet dirombak kelak, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada Najib.

“Itu harapan negeri Sabah (bagaimanapun) kita serah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri (yang baru),” katanya.

Sumber: Utusan Online

Leave a Reply