BlogInternational Relation

Rundingan Tahunan Malaysia – Brunei

By Tuesday November 4th, 2014 No Comments

Kerjasama dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei Darussalam yang telah terjalin sejak sekian lama adalah hasil persefahaman dan tolak ansur berwahanakan kepercayaan mengenai apa yang terbaik untuk kedua-dua buah negara serta rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya.

Di Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-18 yang diadakan semalam, saya berkesempatan berbincang bersama KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam,Sultan Hasanal Bolkiah mengenai hubungan dua hala kedua buah negara. Antara lain, kami sepakat untuk berusaha menyegerakan proses kajian sempadan kawasan darat antara Malaysia dan Brunei, juga mengalu-alukan penggunaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengukur hidrografi untuk menentukan sempadan dari Sungai Pandaruan dan Sungai Menunggol ke Sarawak.

Kami turut bersetuju bahawa kemajuan yang telah dicapai sejak termeterainya Pertukaran Surat yang ditandatangani pada 2009 adalah memuaskan, namun pada masa sama menggesa supaya semua yang terlibat menggiatkan usaha agar mencapai keputusan muktamad mengenai isu-isu tertangguh dan perkara-perkara lain yang telah dibincangkan.

Paduka Seri Baginda Sultan Hasanal Bolkiah turut menyatakan bahawa Baginda yakin Malaysia akan memberi sumbangan bermakna dalam mempromosi keamanan dan keselamatan serantau setelah dilantik sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Selain itu, Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah serta menyokong penuh pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk tahun depan.

Selaras dengan itu, kami berdua sekali lagi mengulangi kepentingan ASEAN dan peranannya dalam isu-isu serantau serta memandang ke hadapan bagi pelaksanaan bersejarah Komuniti ASEAN 2015 di bawah pimpinan Malaysia tahun hadapan.

Pada kesempatan yang sama, saya turut menyampaikan penghargaan kepada Brunei Darussalam atas sokongan yang diberikan kepada Malaysia sejak sekian lama. Insya-Allah, melalui majlis perundingan sebegini, hubungan dua hala dan kerjasama Malaysia – Brunei akan bertambah akrab lagi di masa hadapan.

brunei nr 2
brunei NR1

Leave a Reply