News_archive

Rundingan FTA Dua Hala Malaysia-EU Masuki Perbincangan Spesifik

By Thursday May 5th, 2011 No Comments

JAKARTA, 5 Mei (Bernama) — Perundingan berkaitan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) akan memasuki pusingan perbincangan spesifik berkaitan barangan dan perkhidmatan yang akan dilibatkan dalam perjanjian itu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya rundingan yang bakal berlangsung di Brussel minggu depan umpamanya bakal membabitkan cadangan mengenai pengurangan halangan tarif dan bukan tarif kepada sifar peratus untuk 90 produk barangan selain mengenai komoditi seperti minyak sawit, harta intelek dan pemerolehan kerajaan.

Beliau, yang gembira dengan kemajuan yang dicapai setakat ini, percaya FTA itu akan dapat ditandatangani mengikut jadual menjelang pertengahan tahun depan.

Mengikut ketetapan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selepas menghadiri Mesyuarat Asia Eropah (Asem) di Brussel pada Oktober tahun lalu, FTA itu akan dimuktamadkan dalam masa 18 bulan iaitu sehingga Jun tahun depan.

“Kita ada kira-kira satu tahun lagi untuk memuktamadkan rundingan. Pada masa ini, perunding-perunding kita mula mengadakan perundingan terperinci.

“Setakat ini, kita dah buat dua rundingan dan tahun ini dua lagi dirancang untuk diadakan. Minggu depan, 31 orang pasukan kita akan ke Brussel, kita ada beberapa kumpulan kerja yang akan berunding dengan rakan-rakan di EU dan pada bulan Julai satu lagi rundingan akan diadakan di Kuala Lumpur,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Perdagangan EU Karel De Gucht di luar jadual Sidang Kemuncak Perniagaan Asean-EU di sini petang Khamis.

Dalam dua perundingan sebelum ini, Mustapa berkata kedua-dua belah pihak menumpukan kepada perbincangan kepada soal memahami dasar-dasar perdagangan umpamanya tentang pemerolehan kerajaan, harta intelek, perkhidmatan serta dasar halal haram membabitkan minuman keras seperti “wine” dan seumpamanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply