Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Ruang kerjasama Malaysia - Thailand - Najib Razak
News_archive

Ruang kerjasama Malaysia – Thailand

By Saturday June 13th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 13 Jun – Kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memainkan peranan menyelesaikan pergolakan di selatan Thailand membuka ruang terhadap kerjasama dua hala yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM), K.S. Balakrishnan berkata, langkah tersebut merupakan satu permulaan yang baik buat Najib khususnya dalam mengukuhkan hubungan strategik Malaysia dan Thailand.

Selain itu katanya, kerjasama tersebut memberi peluang kepada kedua-dua negara menyelesaikan beberapa isu semasa yang melibatkan kepentingan nasional menerusi rundingan.

“Walaupun hubungan Malaysia-Thailand berada dalam keadaan baik, masih wujud sedikit ketegangan yang melibatkan aspek keselamatan persempadanan, hal migrasi dan kerakyatan di kedua-dua negara.

“Dengan wujudnya jalinan yang akrab, sedikit ketegangan itu dapat diselesaikan di meja rundingan menerusi saluran diplomasi,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Isnin lepas, Najib dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva sepakat menyelesaikan isu pergolakan di wilayah selatan negara itu dengan menyediakan lebih banyak program pembangunan untuk golongan muda terutama yang beragama Islam di wilayah tersebut.

Najib pada pertemuan yang sama turut bersetuju untuk menyumbang dalam penambahbaikan sukatan pelajaran agama Islam khususnya di sekolah agama di Selatan Thailand.

Menurut Balakrishnan, sifat keterbukaan yang ditunjukkan kedua-dua pemimpin itu juga mampu mewujudkan jaringan kerjasama lebih erat khususnya dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan pelaburan langsung asing (FDI) di kedua-dua negara.

Sementara itu, Pensyarah Perhubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya. Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, kerjasama itu turut membuka peluang kepada kedua-dua negara berkongsi pengalaman menyelesaikan isu nasional di negara masing-masing.

“Negara kita mungkin mempunyai pendekatan terbaik bagi mengendalikan dasar pendidikan dan perhubungan antara kaum sementara Thailand mempunyai kelebihan memacu aspek pelancongan dan industri pembuatan di negara itu,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply