News_archive

RTC Gopeng Pembuka Tirai Fasa Terakhir Pembangunan Luar Bandar- Najib

By Saturday February 18th, 2012 No Comments

IPOH, 18 Feb (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng merupakan pembuka tirai kepada fasa terakhir program pembangunan luar bandar.

Perdana Menteri berkata fasa terakhir RTC Gopeng dijangka selesai sepenuhnya menjelang 2020, seiring dengan beberapa program pembangunan kerajaan termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

“Perasmian RTC ini tanda kemasukan pusingan terakhir dalam kita nak bangunkan kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap pada Perasmian RTC Gopeng di sini, Sabtu.

RTC Gopeng akan menjadi perintis kepada RTC lain di seluruh negara — RTC Kota Baharu (Kelantan) yang sudah mula beroperasi, RTC Kuala Kedah (Kedah), Kuala Linggi (Melaka), Tanjung Manis (Sarawak) dan Pekan Nenas (Johor) yang bakal dibuka kemudian.

Inisiatif RTC ditubuhkan di bawah Teras Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 atau National Blue Ocean Strategy yang bermatlamat menjadi penghubung masyarakat luar bandar dengan aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda.

Najib berkata RTC Gopeng akan menjadi pusat sehenti dan nadi pertumbuhan masyarakat luar bandar kepada penduduk yang tinggal dalan lingkungan 100 kilometer daripada kawasan berkenaan.

Katanya RTC menyediakan pelbagai kemudahan sosio ekonomi termasuk penyediaan latihan, kemahiran dalam bidang agrobisnes, pertanian dan perniagaan, kemudahan mikro kredit, perbankan dan penempatan agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Najib berkata RTC juga merupakan pelengkap kepada agenda pembangunan luar bandar yang dimulakan sejak tahun 60-an dan 70-an.

“Kini tiba masanya pembangunan luar bandar dibuat sejajar dengan agenda transformasi negara di mana ia mestilah bersifat inklusif, mampan dan teguh bagi memastikan masyarakat luar bandar turut mengecapi transformasi dan memperolehi pendapatan supaya negara dapat mencapai status negara maju,” katanya.

Najib berkata fasa pertama pembangunan luar bandar iaitu menyediakan kemudahan elektrik, air dan jalan raya di Semenanjung Malaysia hampir selesai.

Beliau berkata usaha kerajaan untuk membangunkan masyarakat luar bandar telah menampakkan hasil apabila lahirnya pemimpin-pemimpin negara yang terdiri daripada masyarakat luar bandar.

Perdana Menteri juga berkata selain program pembangunan luar bandar, kerajaan juga menjalankan pelbagai projek berskala besar bagi menjana ekonomi negara.

“Kalau negara tidak mencapai pertubuhan ekonomi yang baik, hasil negara kurang dan defisit meningkat, kita akan dianggap sebagai negara yang gagal,” katanya.

Beliau berkata tanpa projek besar yang dapat menjana mendapatan negara, kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakan pelbagai projek untuk masyarakat luar bandar.

Najib memberi jaminan bahawa pelbagai program akan terus dilaksanakan bagi memajukan penduduk luar bandar selaras dengan Wawasan 2020.

Sumber : Bernama

Leave a Reply