News_archive

RM300 Juta Lagi Untuk Taman Perindustrian Tanjong Agas

By Saturday December 11th, 2010 No Comments

PEKAN, 11 Dis (Bernama) — Kerajaan akan memperuntukkan RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk memudahkan pembangunan Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjong Agas (TAOGLIP).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jumlah itu yang merupakan tambahan kepada insentif RM150 juta menerusi pakej rangsangan kerajaan tahun lepas, akan digunakan untuk kerja-kerja infrastruktur yang berkaitan dengan projek berkenaan.

Projek itu kata beliau menyokong hasrat kerajaan dan membantu lebih banyak Projek Permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Projek-projek seperti ini akan membantu merangsang pembangunan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor-sektor maritim dan perniagaan gas dan minyak Malaysia yang merupakan tonggak kukuh ekonomi yang menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar Malaysia.

“Memastikan pertumbuhan dan pelaburan jangka panjang dalam sektor-sektor ini akan menyumbang dengan ketara kepada transformasi kita untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” kata beliau dalam ucapan di majlis pecah tanah Pangkalan Bekalan Penggunaan Bersama Bersepadu di sini Sabtu.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Pangkalan Bekalan Penggunaan Bersama Bersepadu yang menelan kos RM620 juta itu, dikendalikan oleh Tanjong Agas Oilfields Supply Centre Sdn Bhd. Merupakan syarikat usaha sama yang dimiliki bersama oleh Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd dan Oilfields Centre Ltd (OSC) dari Dubai, ia akan menjadi sebuah pusat sehenti yang unik untuk memenuhi keperluan yang kian meningkat untuk aktiviti-aktiviti hiliran dan huluan di rantau ini.

Najib berkata pangkalan bekalan itu yang dijangka siap menjelang 2013 akan menjadi platform utama untuk menyediakan perkhidmatan bagi aktiviti carigali dan pengeluaran minyak dan gas luar pesisir di Laut China Selatan.

“Selain daripada peranannya menarik pelaburan dan perniagaan dari industri minyak dan gas, projek ini dijangka mewujudkan lebih daripada 2,000 pekerjaan baharu dan membentuk satu infrastruktur yang boleh menjalinkan hubungan keusahawanan untuk Malaysia dan orang luar,” kata beliau.

Beliau juga berkata, empat syarikat telah bersetuju untuk mengambil tapak plot tanah milik Tanjong Agas Group dan sedia untuk memulakan pembinaan kemudahan masing-masing.

Keempat-empat syarikat itu ialah Kintera Sdn Bhd, untuk memuat dan memunggah gas petroleum cecair (LPG) dan kemudahan dan terminal penyimpanan berhawa dingin; Komas Energy Sdn Bhd (untuk depot penyimpanan transit bunker dan bahan bakar dan peralatan tumpahan minyak); MKRS Group (M) Sdn Bhd (fabrikasi bersepadu dan limbungan pembaikian kapal untuk platform dan kapal luar pesisir); dan Tanjung Agas Technology-Pacnet (pusat data dan stesen kabel submarin).

Pengarah Urusan Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd, Mohd Faidzal Ahmad Mahidin memberitahu pemberita kemudian yang RM300 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan akan digunakan sepenuhnya untuk membangunkan infrastruktur luar seperti laluan dwi yang telah dikenal pasti dan kemudahan lain untuk menyokong kemudahan pembangunan TAOGLIP.

“Syarikat-syarikat di dalam TAOGLIP akan membangunkan infrastruktur dan kemudahan mereka sendiri kerana ia adalah projek inisiatif yang digerakkan oleh swasta,” kata beliau.

Sumber : Bernama

Leave a Reply