News_archive

Rang Undang-Undang PR1MA Bantu Golongan Berpendapatan Sederhana : Najib

By Wednesday November 30th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) penting bagi menangani dengan segera masalah tekanan kewangan yang dihadapi oleh golongan rakyat berpendapatan sederhana yang tinggal di bandar dan pinggir bandar.

Perdana Menteri berkata rang undang-undang itu diperkenalkan untuk mengawal selia perkara-perkara yang berhubung dengan pembangunan dan pembinaan perumahan, infrastruktur dan kemudahan di bawah program Perumahan PR1MA dan membolehkan penubuhan satu badan berkanun yang diasingkan iaitu PR1MA Corporation Malaysia.

Beliau berkata penubuhan PR1MA Malaysia sebagai satu institusi yang mempunyai fokus khusus dan mampu mengambil tindakan-tindakan strategik bagi menangani isu tekanan kewangan golongan berpendapatan sederhana serta dapat memastikan isu-isu itu ditangani secara efisyen dan efektif.

“Melalui inisiatif ini satu model pembangunan perumahan sosiekonomi yang strategik di peringkat nasional dapat diwujudkan yang mengintegrasikan pembangunan kompleks kediaman berkualiti mampu milik serta kemudahan bagi masyarakat setempat, pengwujudan institusi kemasyarakatan dan penjagaan aspek ekonomi golongan berpendapatan sederhana kawasan bandar dan pinggir bandar, ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni dan mampan serta meringankan kos sara hidup,” katanya.

Najib ketika membentangkan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia 2011 di Dewan Rakyat pada Rabu berkata rang undang-undang itu terdiri daripada 81 fasal yang dibahagikan kepada 10 bahagian.

Perdana Menteri berkata perubahan trend urbanisasi bermakna jumlah golongan yang menghadapi tekanan kewangan semakin bertambah dan memerlukan campur tangan segera kerajaan untuk menangani masalah yang dihadapi mereka.

Katanya bahang kemiskinan lebih dirasai di kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar kerana kos sara hidup yang lebih tinggi dan kekurangan sokongan kemasyarakatan.

“Golongan mereka yang susah di bandar seperti juga yang susah dan miskin di luar bandar kini merupakan satu fenomena yang perlu diambil serius oleh kerajaan,” katanya.

Najib berkata rang undang-undang ini juga adalah sebagai satu daripada usaha kerajaan mengimbangi kekurangan bekalan rumah kos sederhana bagi memastikan program dan skim kewangan Rumah Pertama Ku yang telah dilancarkan, tercapai.

“Sekarang sudah tiba masanya pihak kerajaan mengimbangi salah satu keperluan asas masyarakat iaitu untuk memiliki sebuah rumah bukan sahaja bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah tetapi juga bagi golongan berpendapatan sederhana yang rata-rata tidak mampu memiliki rumah di pasaran bebas di bandar malah pula tidak layak untuk memohon rumah kos rendah dan mesra rakyat yang ditawarkan,” katanya.

Mengikut rang undang-undang itu, perbadanan antara lainnya akan berfungsi merancang, membangun dan menyelenggara pembangunan kediaman berkualiti dan mampu milik secara efektif dan efisien termasuk bekerjasama dengan pemaju swasta untuk menjayakan projek-projek berlandaskan garis panduan yang ditetapkan oleh PR1MA Corporation Malaysia berhubung keperluan kediaman berkualiti mampu milik untuk golongan sasaran berpendapatan sederhana di bandar.

Bahagian lima rang undang-undang itu, mengandungi Fasal 30 hingga 35 yang memperkatakan tentang penubuhan Majlis Penasihat PR1MA dan juga memperincikan tentang kelayakan untuk membeli atau menyewa kediaman PR1MA dan untuk terlibat di dalam pembangunan PR1MA serta penguntukan kediaman PR1MA oleh PR1MA Corporation Malaysia.

Rang undang-undang itu akan memberi kuasa dan hak kepada perbadanan untuk membeli semula rumah PR1MA daripada pemilik rumah PR1MA yang melanggar peraturan, dan rumah PR1MA yang telah dibeli semula akan diberikan kepada orang lain yang layak.

Ia juga menetapkan penubuhan satu Tribunal Rayuan.

Apabila diluluskan, rang undang-undang itu akan dikenali sebagai Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Sumber : Bernama

Leave a Reply