Ramai yang kecewa bahawa jumlah kes Covid baru sebanyak 122 yang direkodkan…

By Monday May 4th, 2020 No Comments

Ramai yang kecewa bahawa jumlah kes Covid baru sebanyak 122 yang direkodkan semalam masih tinggi.

Malah lebih tinggi berbanding jumlah 107 pada 17 Mac iaitu hari sebelum PKP fasa pertama bermula.

Ada yang kata kita sia-sia berkorban dengan duduk di rumah selama 47 hari.

Namun, saya lihat matlamat utama PKP untuk meratakan lengkung (flatten the curve) telah berjaya – bukan untuk sifar Covid.

Trend penularan kes Covid-19 Malaysia tidak melonjak naik seperti yang dilihat di negara-negara tertentu termasuk negara-negara jiran.

Angka jumlah kes Covid-19 baru setiap hari juga tidak memberi gambaran sebenar situasi Covid dalam negara.

Yang paling penting ialah kita tahu dari mana penularan Covid berlaku, kita lebih aktif untuk mencari dan mengesan kes-kkes baru dan adakah ianya dalam kawalan.

Perhatikan grafik yang saya lampirkan.

Jika dulu, kita cuma diberitahu ada 107 kes baru. Dan itupun akibat saringan ke atas pesakit yang sudah menunjukkan gejala.

Sekarang, kita tahu bahawa daripada 122 kes baru semalam:
– 52 adalah kes import yang sudahpun dikurungkan sebaik sahaja mereka sampai dari luar negara;
– 24 kes ialah hasil saringan aktif dari kawasan PKPD yang sudahpun dikurung terlebih dahulu;
– baki 46 kes ialah dari kluster-kluster yang sudah dikenal pasti.

Perbezaan situasi dan kemampuan kerajaan untuk membendung Covid antara sebelum PKP fasa 1 bermula dan sekarang adalah amat besar.

Dulu, kapasiti membuat saringan cuma 3,500 sehari. Kini, dah naik ke sekitar 20,000 saringan sehari.

Dulu, kita tak ada kawasan PKPD dan kurang mengetahui kawasan-kawasan hot spot. Kini, kita mengawal ketat kawasan PKPD secara aktif.

Dulu, kita hanya membuat ujian Covid ke atas pesakit yang menunjukkan gejala. Kini, kita melakukan saringan aktif – terutama untuk mereka yang berada dalam zon-zon PKPD.

Dulu, semua yang masuk dari luar negara tidak dikuarantin dan dibenarkan pulang ke rumah sebaik sahaja mereka tiba. Kini, mereka dikurung secara mandatori di puluhan pusat-pusat kuarantin negara yang diwujudkan setelah PKP bermula.

Dulu, kita cuma ada 219 unit alat bantuan pernafasan untuk pesakit yang paling kritikal. Kini, kita berjaya sediakan 1,443 unit. (jumlah yang sedang digunakan semalam ialah 13 unit)

Sebab itu, jumlah kes aktif Covid dan jumlah kes kritikal (graf) tidak lagi nak mendadak seperti pada permulaan PKP dan kini menunjukkan trend menurun.

PKPB dengan lebih banyak kelonggaran bermula hari ini.

Ramai (termasuk saya) berpendapat ianya patut ditangguhkan seminggu lagi sehingga PKP fasa 4 berakhir pada 12 Mei.

Kita bimbang. Kita risau.

Pendirian saya tetap bahawa tempoh persediaan seminggu patut diberi untuk majikan untuk mematuhi SOP dan orang awam diberi pendidikan sewajarnya untuk menyesuaikan diri.

Namun, keputusan sudah dibuat dan PKPB sudah bermula di beberapa buah negeri.

Tetapi kita juga perlu faham bahawa tahap kefahaman serta tahap kemampuan kerajaan untuk membendung dan melawan Covid secara aktif adalah jauh lebih tinggi berbanding sebelum PKP bermula.

Kerajaan jauh lebih berupaya untuk mengawal jika wujudnya kenaikan kes setelah PKPB bermula.

Kita juga perlu ingat bahawa kita masih dalam tempoh PKP fasa 4 walaupun lebih banyak kelonggaran diberi bermula hari ini.

Ada banyak lagi kegiatan sosial dan sektor perniagaan yang masih tidak dibenarkan.

Jika tiada keperluan mendesak, kita tidak perlu keluar rumah untuk merayau ke shopping mall.

Tiada sesiapa yang paksa kamu keluar.

Jikapun diperlukan untuk keluar rumah bekerja, kita mesti pastikan segala SOP dipatuhi dan kawalan kendiri adalah pada tahap maksimum.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157001845090952/

Leave a Reply