News_archive

Rakyat terima kepimpinan dekat di hati – Najib

By Saturday April 18th, 2009 No Comments

PEKAN 18 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat tidak menolak Barisan Nasional (BN) sebaliknya menolak kepemimpinan yang tidak dekat di hati mereka.

Menurut Perdana Menteri, sekiranya seseorang pemimpin itu tahu bagaimana mengabdikan diri kepada rakyat, mereka akan tetap mengingati dan memberi sokongan berterusan kepada pemimpin itu dan parti.

Najib memberi contoh bagaimana beliau sendiri memperoleh kembali sokongan padu rakyat pada pilihan raya umum lalu apabila mendapat majoriti terbesar lebih 26,000 undi, selepas dilanda ‘tsunami’ politik pada pilihan raya umum 1999 dengan hanya memperoleh majoriti 241 undi.

“Sokongan padu itu berjaya diperoleh kembali selepas saya melakukan banyak perubahan termasuk lebih kerap turun padang dan mengadakan program mendekati rakyat selain menjaga kebajikan mereka.

“Apabila keputusan 241 undi diumumkan, banyak yang kata saya patut tukar kawasan. Saya jawab, hidup mati pun saya tidak rela meninggalkan orang Pekan.

“Biar saya mati di gelanggang daripada tinggalkan orang Pekan. Saya tahu orang Pekan tidak pinggirkan saya, cuma mereka hendak tegur saya. Saya tahu orang Pekan masih berkehendakkan saya dan orang Pekan akan kembali sokong saya kalau saya buat perubahan,” katanya.

Beliau berucap di hadapan lebih 30,000 penduduk yang menyambut kepulangannya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri di Dataran Pekan di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Najib berkata, usaha beliau ‘mengabdikan diri’ kepada orang Pekan dibuktikan kepada seluruh negara apabila majoriti meningkat kepada 22,932 undi sekali gus membuktikan penduduk Pekan masih memerlukannya.

“Namun, saya tetap tidak berdiam diri dan lekas berpuas hati. Apabila berlaku tsunami politik, saya menongkah arus apabila majoriti terus meningkat kepada 26,464 undi (pada pilihan raya lalu) iaitu majoriti paling tinggi di kalangan wakil rakyat BN.

“Maknanya, rakyat tidak menolak BN, rakyat hanya tolak kepimpinan yang tidak dekat di hati rakyat,” tegasnya.

Dalam ucapan itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mengimbas kembali kejayaan pendekatan mengabdikan diri yang dilaksanakan oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang sentiasa dekat di hati rakyat dan masih segar di ingatan sehingga hari ini.

Beliau berkata, prinsip mengabdikan diri kepada rakyat itu masih perlu dijadikan ikutan tetapi perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Perdana Menteri berkata, semua wakil rakyat perlu mendampingi dan mengutamakan rakyat dalam setiap gerak kerja sama ada mereka memegang jawatan atau sebaliknya dalam kerajaan.

“Kalau kita berbuat demikian, kita bukan saja mendekatkan hubungan kita dengan rakyat tetapi kita akan dapat tahu masalah mereka dan kita meleraikan kekusutan-kekusutan yang dihadapi tanpa menunggu waktu pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyelar sikap segelintir ahli UMNO yang menjadi batu api melaga-lagakan pemimpin parti.

“Apabila kita tidak mahu bertanding, mereka suruh kita bertanding, apabila kita tidak mahu lawan, mereka minta kita lawan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Najib, beliau sentiasa berfikir secara matang dan mendapat maklum balas pemimpin-pemimpin veteran sebelum membuat sebarang keputusan.

Sumber : Utusan

Leave a Reply