News_archive

Rakyat Terengganu Syukur Dapat Bantuan Kerajaan

By Friday February 3rd, 2012 No Comments

MARANG, 3 Feb (Bernama) — Rakyat Terengganu melahirkan rasa syukur di atas pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan untuk mereka seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan enjin bot, bantuan anak sekolah dan bantuan kepada pelajar pusat pengajian tinggi.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dalam Program Turun Padang beliau ke daerah Marang, telah menyampaikan bantuan, sempena kawatan kerja sehari beliau ke Terengganu.

Seorang penerima bantuan enjin bot Zakirai Kadir, 58, ketika ditemui berkata, hasrat beliau untuk mendapatkan sebuah bot enjin sangkut termakbul hari ini.

Zakirai, yang bekerja sebagai nelayan sejak 40 tahun lalu, sebelum ini hanya menggunakan perahu kecil untuk menangkap ikan di pesisir pantai daerah itu kerana tidak mampu membeli enjin bot yang bernilai RM8,000.

“Saya syukur atas kedatangan Datuk Seri Najib yang memberi bantuan enjin bot kepada saya dan empat rakan yang lain,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini Jumaat.

Zakirai yang mempunyai sembilan orang anak dan tinggal di Kampung Baru Marang berkata, dengan adanya bot sendiri, beliau akan dapat bekerja dengan lebih gigih lagi.

“Saya juga bersyukur kerana selain bantuan enjin bot, saya juga menerima BR1M sebanyak RM500 dan saya akan berbelanja duit itu dengan berhemah,” katanya.

Rakannya Mohamad Ismail, 48, berkata, hasratnya yang telah lama terpendam untuk memiliki bot sendiri kini tercapai.

“Sebelum ini saya hanya menumpang bot rakan untuk bekerja sebagai nelayan. Dengan adanya bot sendiri, senanglah saya mencari rezeki,” katanya yang mempunyai enam orang anak.

Warga emas Zaiton Ngah, 67, dari Kampung Surau Panjang, Bukit Payong, melahirkan rasa syukur di atas pemberian bantuan kerajaan sebanyak RM500 itu.

“Saya berharap bantuan sebegini diteruskan setiap tahun bagi membantu rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply