News_archive

Rakyat Penanda Aras Utama KPI, Kata Najib

By Sunday May 3rd, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) — Kepentingan rakyat adalah aspek yang perlu diutamakan dalam mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kepentingan rakyat adalah aspek yang perlu diutamakan justeru KPI merupakan medium peringatan yang paling relevan…penanda aras utamanya ialah rakyat. Secara keseluruhannya kita mesti memuaskan (hati) rakyat,” katanya.

Beliau berkata KPI yang mula diguna pakai selepas pertukaran kepimpinan Mac lepas bukan sekadar berkisar kepada prestasi pekerjaan semata-mata sebaliknya terletak kepada kecekapan dalam memenuhi dan memuaskan kehendak rakyat.

Berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di dataran Kompleks Perdana Putra di sini hari ini, Perdana Menteri berkata ada ketikanya ketika menunaikan rutin pekerjaan, kerajaan dan anggotanya terlupa bahawa kepentingan rakyat adalah aspek yang perlu diutamakan.

“Kerana itu selain daripada memantau KPI, saya menyeru semua termasuk diri saya sendiri untuk sentiasa mengingati bahawa penanda aras terakhir dan terpenting ialah memuaskan kehendak rakyat. Sama ada daripada aspek perkhidmatan mahupun usaha untuk meningkatkan kekayaan, menyelesaikan masalah dan sebagainya.

“KPI sebenar bergantung kepada kemampuan kita memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Beliau berharap semua anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam dapat memberikan kepuasan kepada rakyat kerana rakyat yang puas hati ialah rakyat yang akan terus bersama-sama dengan kerajaan.

Bagi mencapai objektif itu, Najib berkata kesetiaan dan komitmen padu antara penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan adalah kunci utama dalam mencapai sasaran KPI.

Perdana Menteri juga berkata budaya inovatif dan kreatif perlu disemai sejak alam persekolahan lagi.

“Apabila kreativiti dan inovasi digabungkan bersama-sama produktiviti, kerajaan bukan hanya mampu meningkatkan tahap pencapaian bahkan menghasilkan manfaat yang besar untuk rakyat dan negara,” katanya.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply