News_archive

Rakyat inovatif perlu berani ambil risiko: PM

By Tuesday November 1st, 2011 No Comments

2012 diumum sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu berani mengambil risiko untuk menjadi insan yang inovatif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, seorang inovator akan meneroka jejak baru, berbanding hanya mengikut laluan yang ditinggalkan orang lain serta berfikiran terbuka dalam menilai pendapat luar biasa dan memikirkan peluang kepada sesuatu yang dilihat sebagai masalah oleh orang lain.

Beliau berkata, kehilangan tokoh inovasi, termasuk pengasas syarikat elektronik Apple, Steve Jobs, pengasas Sony Corporation, Akio Morita dan pengasas Pan American World Airways, Juan Trippe, meninggalkan kesan mendalam kepada dunia yang banyak menerima manfaat daripada pemikiran inovatif mereka.

“Warisan yang ditinggalkan Steve Jobs, Juan Trippe, Akio Morita dan ramai lagi inovator dunia membuatkan saya berhenti berfikir seketika. Banyak yang boleh dipelajari daripada mereka,” katanya di dalam laman blognya www.1malaysia.com.my.

Perdana Menteri meminta rakyat mencontohi mereka yang percaya pembelajaran tidak terhad hanya di sekolah, tetapi berlaku setiap kali berinteraksi dengan orang lain atau dengan kehidupan lain, selain sikap ingin tahu yang menyemarakkan hasrat mewujudkan produk dan sistem yang lebih baik.

“Mungkin inilah perbezaan paling ketara antara seorang pencipta dengan seorang penginovasi. Sepanjang zaman, berjuta-juta orang menghasilkan pelbagai ciptaan, tetapi hanya sebahagian kecil yang menyentuh dunia dengan idea mereka.
“Komuniti kecil ini menjadi penginovasi kerana mereka tidak berlumba untuk menjadi yang pertama menghasilkan sesuatu ciptaan, tetapi berlumba menghasilkan versi ciptaan yang benar-benar dapat memanfaatkan orang ramai,” katanya.

Perdana Menteri juga berharap nama rakyat Malaysia akan terpahat dalam analogi sejarah dunia suatu hari nanti seperti Profesor Dr Halimaton Hamdan, Phua Khein-Seng dan Tan Sri Tony Fernandes yang berjaya membawa idea dan pendekatan inovatif dalam bidang teknologi nano, penyimpanan data dan pengangkutan udara.

“Dengan harapan inilah saya mengumumkan 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional dengan beberapa inisiatif strategik seperti MyCreative Venture Capital dan C1PTA, serta peruntukan RM100 juta dalam Bajet 2012,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply